Berita UtamaDunia

Jemaah umrah asing divaksin dos dilulus Arab Saudi tak perlu kuarantin

Tempoh menetap juga ditambah kepada 30 hari kepada jemaah asing

JEDDAH, 27 Rabiulakhir 1443H, KhamisKuarantin tidak lagi diperlukan bagi jemaah umrah asing yang telah menerima dua dos vaksin COVID-19 diluluskan kerajaan Arab Saudi.

Kementerian Haji dan Umrah memaklumkan, jemaah yang lengkap divaksinasi dibenarkan melakukan perjalanan terus ke kota suci Makkah dan melakukan umrah tanpa dikuarantin.

Malah, tempoh tinggal di negara ini bagi jemaah asing ditambah kepada 30 hari berbanding 10 hari sebelum ini, memetik laporan Saudi Gazette.

Selain itu, jemaah asing berumur 18 tahun ke atas akan diberikan permit untuk memasuki Arab Saudi dan menunaikan umrah, bertepatan dengan syarat Kementerian Kesihatan.

Manakala, bagi jemaah domestik, individu berumur 12 tahun ke atas dibenarkan menunaikan umrah.

Kementerian Haji dan Umrah turut menjelaskan, syarat jemaah umrah dari negara yang tidak termasuk dalam larangan perjalanan hanyalah inokulasi dengan dua dos vaksin coronavirus diluluskan kerajaan.

Bagaimanapun, kuarantin selama tiga hari diperlukan untuk jemaah asing yang diimunisasi dengan dua dos vaksin diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Jemaah juga perlu menjalani ujian makmal PCR selepas 48 jam kuarantin dan akan dibenarkan menunaikan umrah sekiranya keputusan negatif.

Terdahulu, Penjaga Dua Masjid Suci membenarkan penggunaan sepenuhnya kapasiti Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Kementerian juga telah membatalkan had umur maksimum 50 tahun untuk jemaah asing menunaikan umrah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button