Berita Utama

KPM gagal dalam pelaksanaan dasar MBMMBI

Program lebih tertumpu kepada pengukuhan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 27 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Ketua Wanita BERJASA Johor, Azizah Che Awang berpandangan Kementerian Pendidikan (KPM) gagal dalam pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang dimulakan sejak tahun 2010.

Beliau berkata, di kebanyakan sekolah, pelbagai program MBMMBI yang diadakan lebih menjurus kepada pemantapan bahasa Inggeris.

Malah, katanya, sesetengah sekolah turut menempatkan seorang koordinator atau guru bahasa Inggeris yang didatangkan dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan New Zealand. 

Katanya, bukan sedikit kos yang ditanggung KPM dan kerajaan ketika itu untuk membiayai guru-guru berkenaan.

“Lebih mengecewakan seolah-olah menafikan kebolehan guru-guru bahasa Inggeris dari tanah air sendiri,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Dasar MBMMBI dilaksanakan untuk menggantikan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah, iaitu Tahun 1 hingga Tingkatan 5.

Ia memfokuskan usaha memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris bagi melahirkan masyarakat yang mampu berkomunikasi dengan berkesan, bersatu padu serta dapat menjana daya saing hingga ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Azizah menyambut baik usaha berterusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di dalam memperkasakan bahasa Melayu.

Pun begitu, beliau berkata, jika tiada penguatkuasaan daripada pihak kerajaan maka segala usaha murni agensi seperti DBP ini akan terpencil. 

“Jika muncul pun hanya ketika bulan Bahasa atau Bulan Membaca Kebangsaan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegur agensi kerajaan, swasta, serta GLC supaya dapat menggunakan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan termasuk mesyuarat dan persidangan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button