Berita Utama

Mangsa 31 tahun dikenal pasti terperangkap runtuhan di Cameron Highlands

Usaha menyelamatkan sedang dijalankan: Ketua Polis Perak

IPOH, 27 Rabiulakhir 1443H, Khamis –  Seorang pemandu lori berusia 31 tahun dikenal pasti sebagai salah seorang mangsa yang terperangkap di kawasan tanah runtuh.

Ketua Polis Perak, Komisioner Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semakan dengan majikan mangsa mengesahkan lelaki itu mengangkut sayur-sayuran dari Cameron Highlands ke Ipoh.

Majikan mangsa telah mengesahkan bahawa hanya seorang sahaja berada di dalam lori itu.

“Pada masa ini, kami hanya boleh mengesahkan bahawa seorang mangsa terperangkap, dan usaha sedang dijalankan untuk menyelamatkannya.

“Pasukan penyelamat kini berjaya mengesan bahagian hadapan lori itu dan kami yakin mangsa akan dikeluarkan dari runtuhan tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian tanah runtuh itu kira-kira jam 1.41 tengah hari.

Mior Faridalathrash berkata, jengkaut sedang digunakan untuk membersihkan kawasan itu.

“… dan diharapkan jika hujan tidak lebat kami akan dapat mengesan mangsa tidak lama lagi,” katanya.

Beliau menggesa orang ramai menggunakan jalan dari Tapah untuk menuju ke tanah tinggi.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata sebuah kenderaan jenama Vellfire turut terperangkap.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button