Pendapat

Menyesal di penghujung nyawa

Apakah yang telah kita perjuangkan buat Islam

1. ALLAH mengingatkan kita di dalam al-Quran bahawa apabila tiba saat kematian, akan ada manusia yang memohon kepada Allah supaya diberikan peluang untuk kembali beribadah di dunia. Firman Allah:

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ

“Sehinggalah apabila datangnya kematian, dia berkata: Wahai Tuhanku, kembalikan aku ke dunia!” (al-Mukminun:99)

2. Sebahagian mufassir menyatakan bahawa ayat ini adalah berkenaan situasi orang kafir yang menyesal akan kemungkaran serta maksiat yang mereka lakukan di muka bumi ini. Namum secara umumnya, ayat ini turut mengingatkan keadaan muslim mahupun kafir yang berada di ambang kematian mereka. Sabda Rasulullah:

إذا حضر الإنسان الموت جمع كل شيء كان يمنعه من حقه بين يديه فعنده يقول رب ارجعون لعلي أعمل صالحا فيما تركت

“Ketika datangnya kematian kepada seseorang, akan datang terbayanglah semua perkara yang pernah dia tinggalkan (atau tidak lakukan sedangkan sepatutnya dia laksanakan). Maka ketika itu dia berkata: Wahai Tuhanku, kembalikan aku ke dunia agar aku boleh melakukan amal soleh yang pernah aku tinggalkan.”

3. Perhatikan apa yang telah diungkapkan oleh Abu Bakar ketika berada di ambang kematian beliau. Kata Abu Bakar kepada Aisyah:

قال لعائشة: “انظروا ثوبي هذين، فاغسلوهما وكفنوني فيهما، فإن الحي أولى بالجديد من الميت”

“Wahai Aisyah, perhatikan baju ini, bersihkanlah baju ini dan kafankanlah aku dengannya. Kerana pakaian yang baharu itu hanya sesuai untuk yang hidup (sedangkan aku di ambang kematian).

4. Abu Bakar orang yang paling banyak menyumbang untuk Islam. Segala hartanya disumbangkan untuk Islam sehingga di saat kematian, beliau hanya meminta dikafankan dengan pakaian yang sedia ada. Diminta dibasuhkan baju tersebut dan dikafankan dengannya sedangkan hartanya yang lain telah disumbangkan kepada Islam. Lihat bagaimana pengakhiran orang yang soleh, sehingga di saat kematian masih sempat memikirkan amalan kebajikan yang boleh dilakukannya.

5. Perhatikan pula bagaimana Saidina Umar memohon keampunan Allah di saat kematian beliau. Menurut riwayat, di saat kematian Umar, kepala beliau dipangku oleh anaknya iaitu Abdullah ibn Umar. Umar meminta anaknya supaya meletakkan pipinya ke tanah, merendah diri memohon keampunan dari Allah. Kata Umar kepada anaknya:

ضَعْ خَدِّي بِالأَرْضِ لا أُمَّ لَكَ , وَيْلِي وَوَيْلُ أُمِّي إِنْ لَمْ يَغْفِرِ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ

“Letakkan pipi aku ke tanah! Celakalah buat diriku dan ibuku sekiranya Allah tidak memberikan keampunan buatku!”

6. Di saat kematian ini, Umar masih sempat lagi memohon keampunan kepada Allah sedangkan beliau adalah antara sepuluh sahabat yang telah dijanjikan syurga.

7. Sahabat-sahabat yang telah dijanjikan syurga ini, di saat kematian mereka masih lagi utuh memikirkan sumbangan mereka untuk Islam bahkan memohon keampunan dari Allah. Mereka adalah watak utama yang berjuang untuk mempertahankan Islam. Namun di saat kematian, mereka turut bimbang dengan amalan mereka lalu mereka memohon keampunan dari Allah.

8. Lalu kita, apakah yang telah kita perjuangkan buat Islam. Apakah telah banyak istighfar yang telah kita mohon kepada Allah.

Muhasabah untuk diri sendiri. Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button