Berita Utama

Rais Yatim bidas Zaid anggap bahasa Melayu tak penting

Pertama kali temui anak watan kurang peduli bahasa rasmi negara sendiri

KUALA LUMPUR, 27 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Rais Yatim membidas pendirian bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang menganggap isu bahasa kebangsaan sebagai satu isu yang lama dan tidak perlu dibahaskan lagi.

Zaid dalam laporan portal tempatan berkata: “Bahasa kebangsaan kita adalah penting, tetapi ini adalah isu lama dan ini adalah zaman moden di mana penggunaan bahasa Inggeris adalah biasa sebagai bahasa antarabangsa.”

Zaid berkata, rakyat Malaysia menggunakan bahasa Melayu tetapi juga bahasa lain apabila mereka perlu, dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu bersikap ‘sentimental’ terhadap bahasa itu, sebaliknya perlu memfokuskan kepada isu lain yang lebih penting.

Terkejut dengan kenyataan itu, Dr Rais berkata, ia sekali gus menggambarkan Zaid tidak mengambil kisah ketegasan Perdana Menteri yang mahu menegakkan semula bahasa Melayu yang kini sudah mula lemah longlai dan terkulai. 

Beliau berkata, ketegasan Ismail Sabri itu sepatutnya mendapat sokongan padu dan bukannya dipandang remeh.

“Ini juga disebabkan pendirian acuh tak acuh barisan pimpinan politik serta pelbagai pihak lain tentang bahasa kebangsaan selama ini. Isu bahasa adalah isu tunggak negara kerana tiada bahasa, tiada bangsa itu sendiri. 

“Justeru bila seseorang Perdana Menteri menjuarakan bahasa kebangsaan negaranya, itu bererti suatu sifat pimpinan berjiwa besar, tanda ambil berat yang besar dan pendirian terpuji. 

“Beliau mahu bahasa Melayu ditutur dan digunakan sepenuhnya di pelbagai arena dan majlis dan biasakan diri menggunakan bahasa Melayu tidak dirojakkan dengan bahasa Inggeris dalam mesyuarat, ucapan, dialog dan hubungan rakyat,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.

Perdana Menteri sebelum ini menegur agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta di negara ini kerana lebih mengutamakan bahasa Inggeris dalam majlis, mesyuarat, persidangan, projek serta produk mereka.

Kesal dengan perkara itu, Dr Rais berkata, ini adalah kali pertama beliau menemukan seorang anak watan kurang peduli bahasa rasmi dan negaranya sendiri.

“Dalam setiap perlembagaan parti politik, ada disebutkan tentang bahasa kebangsaan sebagai perjuangan. Tapi bila pohon bahasa kebangsaan itu condong, tidak ramai yang menegakkannya kembali. 

“Jadi bila Datuk Seri Ismail Sabri menzahirkan perjuangan bahasa Melayunya, maka setiap warga Malaysia wajib bersyukur. 

“Itu bukan isu remeh. Tolak tepi rentak sinis mana-mana pihak yang berlagak dirinya dah berada di ufuk kayangan dunia Great Britain. Isu bahasa dan persada bahasa tetap relevan dan utama,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button