Berita Utama

Selangor tak tolak kemungkinan tambah kerusi DUN

Ambil kira penambahan pengundi berumur 18 hingga 20 tahun

SHAH ALAM, 27 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Kerajaan Negeri Selangor tidak menolak kemungkinan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditambah dengan mengambil kira aspek peningkatan jumlah pengundi berumur 18 tahun sehingga 20 tahun dan pertambahan penduduk akibat migrasi ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri Ng Sze Han berkata namun, tumpuan juga perlu diberikan terhadap aspek kesekataan jumlah pengundi antara satu kawasan dengan kawasan yang lain.

“Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya ‘malapportionment’ ataupun ketidaksekataan yang akan mengakibatkan nilai undi di satu kawasan tidak setanding dengan kawasan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi pihak Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di persidangan DUN Selangor hari ini bagi menjawab soalan Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku) yang ingin tahu mengenai cadangan persempadanan semula di negeri ini.

Ng berkata pada 2019, Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah meluluskan pindaan kepada Perkara 47 dan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan had usia kelayakan mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun dan ia berkait dengan kelayakan mengundi di dalam pilihan raya, serta kelayakan menjadi seorang Ahli Dewan Rakyat.

“Secara amnya, walaupun sudah melebihi dua tahun sejak pindaan ini diluluskan, proses ini akan selesai pada 31 Dis ini dan berkuat kuasa mulai tahun depan, sebagaimana diberitahu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar,” katanya.

Menurutnya kali terakhir bilangan kerusi DUN Selangor ditambah pada 2003 sewaktu proses persempadanan semula dijalankan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004, iaitu daripada 48 kerusi kepada 56 kerusi di seluruh negeri ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button