Berita Utama

Tindakan tolak Jawi umpama tak hormati kedaulatan negara

DAP bersikap tidak profesional tolak Jawi dalam sistem pendidikan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 27 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Penggunaan tulisan Jawi tidak sewajarnya dipolitikkan kerana ianya bukanlah melibatkan ayat al-Quran yang hanya boleh digunakan oleh orang Islam sahaja.

Sebaliknya, penggunaan tulisan itu perlu dilihat daripada perspektif estetika dan falsafah, bukan agama Islam semata-mata.

Presiden Briged Negaraku, Khairul Nizam Mohd Sopery berkata, tulisan Jawi bukanlah hanya untuk orang Melayu Islam sahaja, sebaliknya universal dan sebagai alat perhubungan umum bagi semua lapisan masyarakat sebelum merdeka.

“Kita perlu pandai membezakan tiga perkara penting iaitu tulisan Jawi, bahasa Melayu dan agama Islam.

“Tulisan Jawi merupakan warisan negara yang tiada tolok bandingannya,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Khairul Nizam turut mempersoalkan kenapa perkara berkenaan menjadi isu hari ini, sedangkan masyarakat terdahulu secara terbuka menerima walaupun bukan beragama Islam.

“Kalau kita lihat orang-orang lama walaupun bukan Islam mereka boleh membaca dan mahir dalam tulisan Jawi tapi kita hari ini menjadi masalah.

“Ini sengaja diwujudkan, sepatutnya tidak perlu tegangkan hubungan kaum yang sedia renggang ini.

“Tidak perlu dipolitikkan dalam penggunaan Jawi, sepatutnya kita semua bangga dapat menambahkan lagi kebolehan dan keunikan yang ada dalam negara kita yang memiliki kepelbagaian,” ujarnya.

Katanya, tindakan DAP menolak tulisan Jawi dalam sistem pendidikan adalah perbuatan yang tidak profesional.

Malah, boleh disifatkan sebagai tindakan biadap yang tidak menghormati kedaulatan negara ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button