Berita Utama

Varian Omicron: Orang ramai tak perlu terlalu risau, terus patuhi SOP

Kawalan ketat sempadan wajar dilaksanakan, tetapi tak perlu sekatan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 27 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Kemunculan varian baharu COVID-19, Omicron di beberapa buah negara sudah dijangka pakar-pakar kesihatan seluruh dunia.

Berikutan itu, bagi mengurangkan penularan varian baharu yang membimbangkan (VOC) itu, orang ramai diminta untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang telah pun ditetapkan oleh kerajaan.

Pada masa sama, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, suntikan vaksin perlu diambil dan dilengkapkan bagi mana-mana pihak yang belum berbuat demikian supaya mendapat perlindungan sewajarnya.

“Varian baharu Omicron ini kita jangan terlalu risau. Sampai tak tidur malam kita merisaukannya. Apa yang perlu kita buat, ikut cakap kerajaan. 

“Kita pantau, kita ikut SOP yang sedia ada. Lengkapkan vaksin, kalau baru satu dos, dapatkan dos kedua. Kemudian jika perlu ambil dos penggalak. 

“Kita boleh protect dengan vaksin. Walau vaksin tak 100 peratus melindungi, tetapi lebih baik ada daripada tak ada. Jangkitan dia pun sama sahaja iaitu melalui sistem pernafasan. Jadi kita teruskan pakai pelitup muka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Varian Omicron, merupakan varian terbaharu COVID-19 yang sedang menular di 23 negara.

Maklumat awal mendapati ia mempunyai 32 jenis mutasi protein berbanding Delta (sembilan mutasi protein), menjadikan varian baharu itu mempunyai kadar kebolehjangkitan lebih tinggi.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 telah memutuskan kawalan sempadan negara yang lebih ketat, supaya risiko kemasukan Omicron ke negara ini dapat dikurangkan.

Mengulas lanjut, Dr Zainal berkata, kawalan sempadan itu adalah wajar selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan sekatan tidak perlu dilakukan selagi mana kawalan ketat dilaksanakan.

“Kita lakukan pemeriksaan terperinci sebelum individu masuk ke negara. Laksanakan tempoh kuarantin. Tak perlu dah nak buat sekatan. 

“Kita (kerajaan) semua dah ready dah. Pada waktu yang sama juga kita janganlah mengharapkan kosong kes. Mustahil. Kita tetap menjangkakan akan ada kes daripada varian itu, bagaimanapun, jangan terlalu takut. 

“Dengan keupayaan kita melaksanakan tanggungjawab masing-masing, penularan itu tidak akan berlaku terlalu dahsyat,” katanya.

Terdahulu, WHO menyarankan negara-negara untuk tidak mengenakan sekatan perjalanan menyeluruh ke atas pelancong yang datang dari negara terjejas.

Menyambut saranan WHO, Ketua Agensi Kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menyatakan bahawa negara sebaliknya harus mengamalkan langkah pengurangan risiko yang rasional, berkadar, selaras dengan peraturan kesihatan antarabangsa.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan bahawa membuat saringan terhadap penumpang sebelum melakukan perjalanan dan/atau semasa tiba di lapangan terbang dan kuarantin mandatori pelancong antarabangsa adalah beberapa cara untuk memeriksa penularan varian Omicron sebagai ganti sekatan perjalanan menyeluruh.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button