Berita UtamaDunia

Krisis dengan Arab Saudi, Menteri Penerangan Lubnan letak jawatan

Mahu redakan pertelingkahan diplomatik susulan komennya

BEIRUT, 28 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – George Kordahi meletak jawatan sebagai Menteri Penerangan Lubnan dalam usaha menamatkan pertelingkahan diplomatik dengan Arab Saudi yang dicetuskan oleh komen beliau sebelum ini.

Menurut Kordahi, beliau meletak jawatan sebelum Presiden Perancis melawat Riyadh dengan harapan Emmanuel Macron akan membantu mengurangkan krisis yang dibangkitkan mengenai komen peranan Arab Saudi dalam perang Yaman.

Sunni Arab Saudi dan Syiah Iran sudah lama berjuang untuk pengaruh di rantau ini, termasuk di Lubnan – yang sedang bergelut dengan krisis ekonomi mendalam dan sangat memerlukan sokongan kewangan daripada penderma serantau dan antarabangsa.

Selepas insiden itu, Arab Saudi mengusir duta Lubnan ke kerajaan itu, memanggil balik dutanya ke Beirut dan mengharamkan import Lubnan.

Negara Teluk lain, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Kuwait mengikut tindakan Arab Saudi dengan langkah yang sama terhadap Lubnan.

Kordahi enggan meletak jawatan dalam beberapa minggu selepas itu – walaupun Perdana Menteri, Najib Mikati meminta Menteri Penerangan itu meletakkan ‘kepentingan negara’ terlebih dahulu.

“Saya difahamkan daripada Mikati … bahawa Perancis mahu peletakan jawatan saya dilakukan sebelum lawatannya (Macron),” kata Kordahi pada sidang akhbar.

Beliau percaya Mikati mempunyai jaminan bahawa Macron akan membincangkan hubungan Lubnan dengan Riyadh.

Peletakan jawatan itu juga bertujuan untuk menghalang sebarang tindakan menghukum terhadap ratusan ribu rakyat Lubnan yang tinggal di negara Teluk Arab, katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button