Berita Utama

Cegah Omicron, masyarakat dinasihat ambil dos penggalak: Pakar

Bukan selalu kita boleh bayar harga nyawa dan kesihatan dengan cara mudah

BANGI, 25 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Tidak dapat dinafikan kemunculan varian Omicron COVID-19 mengundang rasa resah dalam kalangan rakyat.

Sehingga semalam sebanyak 20 negara sudah melaporkan pengesanan varian baharu itu dengan 18 daripadanya melibatkan kes import.

Malahan Malaysia dilapor merekodkan kes pertama positif COVID-19 varian Omicron – membabitkan seorang pelajar dari Afrika Selatan yang menuntut di sebuah universiti swasta di Ipoh.

Pelajar perempuan berumur 19 tahun itu tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November dan telah menjalani ujian RT-PCR COVID-19 setibanya di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dengan tersebarnya varian Omicron ke serata dunia, Pakar Anestesiologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Hana Hadzrami menasihati orang ramai untuk mengambil dos penggalak atau dos ketiga vaksin COVID-19.

“Memanglah sekarang kes kategori 4 dan 5 tak seteruk dulu sewaktu kadar liputan vaksin masih rendah. Ramai pesakit COVID-19 sekarang tak perlukan ventilator pun. Yang perlukan ventilator pun tak perlu ditelangkupkan macam dulu.

“Kalau perlu ditelangkupkan itu pastilah yang tak terima vaksin. Itu dah tak boleh nak buat apa selain pasrah. Dah itu pilihannya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau, hari ini.

Bagaimanapun beliau yakin, jangkitan COVID-19 boleh dikurangkan bahkan menghalang menjadi lebih teruk dengan menerima dos penggalak.

“Terutama warga emas dan mereka yang berisiko (separuh rakyat Malaysia berisiko sebab lebih separuh mengalami masalah obesiti).

“Bukan benda baru pun dos booster (dos penggalak) ini. Kami staf perubatan setiap tahun ambil booster vaksin flu dan vaksin lain. Anak kecil pun hampir setiap bulan ambil booster vaksin sampailah usia meningkat.

“No big deal. Dan tiada siapa pun kisah vaksin booster jenama apa. Bukan selalu kita boleh bayar harga nyawa dan kesihatan dengan cara yang mudah. Ambillah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button