Berita Utama

BERJASA sasar Malaysia bebas arak, judi pada tahun 2040

Tak mustahil terlaksana dengan adanya perjuangan dan kesedaran seluruh rakyat

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 13 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Membebaskan Malaysia daripada industri arak, judi dan dadah merupakan satu perkara asas yang perlu diperjuangkan oleh semua pihak. 

Ketua Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Fahmi Bazlan berkata, meskipun perjuangan ini amat sukar, namun dengan tekad dan semangat daripada masyarakat yang mempunyai kesedaran tinggi, tidak mustahil hasrat itu terlaksana.

Beliau berkata, BERJASA meletakkan kehendak tinggi serta besar untuk menyasarkan Malaysia sebagai sebuah negara bebas arak dan industri-industri lain yang terbabit dengan kancah atau sumber haram menjelang tahun 2040. 

“Kerana kita yakin, negara ini perlu kuat, negara ini perlu berdaulat dan negara ini perlu dibangunkan atas kehendak yang baik. 

“Dengan perjuangan yang jelas dan murni ini, dari situ akan datangnya keberkatan daripada Allah SWT,” katanya dalam program Dimensi yang disiarkan TV Pertiwi, malam ini.

Ustaz Fahmi berkata, BERJASA melihat usaha dan perjuangan ini perlu dimulakan oleh masyarakat itu sendiri. 

“Seperti di Madinah, mereka melihat arak itu sebagai najis. Mereka sedar kedudukan arak itu. Jadi kita perlukan kesedaran rakyat untuk memastikan perjuangan ini berhasil. 

“Hakikatnya, kita bukan negara Turki yang sekular, kita adalah sebuah negara yang memiliki kedudukan Islam yang jelas dalam Perlembagaan,” katanya.

Justeru, katanya, suara dan perjuangan bukan satu perkara yang wajar dipandang rendah tetapi perlu diagendakan.

“Ia supaya kita mendapat suatu langkah-yang sangat proaktif khususnya dalam menentukan pemimpin yang berada di atas sana, mewakili suara rakyat. 

“Pemimpin yang mengangkat perjuangan suci ini dengan benar ikhlas, perjuangan Islam yang hendak dibawa. Bukan perjuangan bersifat sementara. 

“Jika disusun dengan baik, ia adalah sesuatu yang tidak mustahil untuk kita capai cita-cita ini pada masa akan datang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button