Berita Utama

KPI jatuh jika bersolat? Rider didakwa ditindas sistem tak dikawal?

Kerajaan masih belum serius untuk mendengar, perbaiki keadaan

BANGI, 28 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Meskipun sering dilihat sebagai pekerjaan yang ‘mudah’ oleh sesetengah pihak, namun hakikatnya rata-rata penghantar makanan merasakan mereka seolah-olah ditindas oleh sistem yang tidak mempunyai kawal selia.

Lebih menyedihkan permasalahan yang dihadapi penghantar makanan itu tidak mendapat perhatian oleh pihak mana-mana agensi kerajaan termasuk kementerian.

Antara perkara yang dibangkitkan adalah kadar upah penghantaran pesanan ‘rider’ dipotong mengikut sesuka hati; peta digital yang tidak mengikut jarak sebenar dalam aplikasi Google Maps atau pun Waze serta penggantungan dan penamatan ID Rider yang jelas tidak adil.

Selain berdepan masalah teknikal aplikasi (apps Glitch), penghantar makanan dalam kalangan muslim juga berisiko menghadapi kejatuhan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sekiranya mereka berhenti untuk menunaikan solat serta menolak mengambil pesanan makanan berasaskan babi.

“Kalau kami request break untuk solat, KPI kami dijatuhkan. Ini negara Islam. Takkan penghantar makanan macam kami, bila nak solat, request break, KPI kami jatuh. Ini bukan satu perkara terpencil. Mungkin untuk sesetengah pihak, ini bukan isu besar. Tapi bagi kami yang mahu menjaga solat, kami rasakan ini satu tindakan yang tidak hormat dan berunsur diskriminasi kepada kami.

“Ada juga isu rider beragama Islam yang mendapat pesanan yang jelas tidak halal seperti pork soup, tetapi apabila hendak menolak pesanan tersebut, dibenarkan, tetapi KPI kerja juga akan terjejas. Di mana hak kami sebagai penghantar beragama Islam?” demikian luahan ‘rider’ seperti dipetik Samudera.my.

Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P Hailing (PENGHANTAR), Abdul Hakim Abdul Rani menjelaskan, apa menjadi rungutan tersebut merupakan perkara yang persatuan beliau terima dari rakan-rakan penghantar P Hailing saban hari.

Beliau membangkitkan beberapa keadaan mengenai prosedur operasi standard (SOP) di mana syarikat penyelia seolah-olah mengikat rakan-rakan penghantar seperti mereka bekerja tetap.

Sedangkan mereka ini pekerja ekonomi gig yang mana seharusnya menikmati satu bentuk pekerjaan yang fleksibel.

Selain itu, Abdul Hakim menjelaskan, rakan-rakan penghantar juga tidak mendapat hak yang penuh.

“Terdapat syarikat penyelia yang menyediakan faedah insurans kemalangan tetapi banyak rungutan yang diterima, apabila ingin membuat tuntutan, tuntutan tersebut tidak diluluskan. Kami juga tidak diberikan salinan polisi untuk rujukan.

“Kami juga tidak diberikan salinan hard copy kontrak pekerjaan. Ini menyebabkan apabila sesuatu isu berlaku, sukar untuk kami melaporkan perkara ini kepada pihak berwajib. Jika ikut dari perundangan, syarikat perlu memberikan salinan kontrak, selagi mana pekerjaan kami membawa keuntungan kepada syarikat,” katanya.

Beliau berkata, rungutan paling besar yang pernah diterima ialah keadaan syarikat-syarikat penyelia yang mengubah SOP dengan kerap dan semakin lama, semakan polisi yang dibuat merugikan penghantar makanan sendiri.

“Saudara bayangkan, kami merasakan kami ini tidak dilayan dengan cara yang sepatutnya. Pihak kerajaan juga masih belum serius untuk mendengar dan memperbaiki keadaan.

“Kami tuntut beberapa perkara terutamanya mengenai satu bentuk piawai dan kawal selia kadar upah, hak dan kebajikan, tetapi masih belum diberikan perhatian untuk tindakan yang sepatutnya.

“Enam buah negara luar sudah mula memperbaiki hak dan kebajikan penghantar-penghantar P Hailing. Tetapi kita masih perlahan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button