Berita Utama

Kerajaan ambil langkah luar biasa sedia dana penjaja, peniaga kecil

Program miliki faktor 'wow' hayati keperitan golongan terbabit

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 29 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Langkah kerajaan menyediakan peruntukan melebihi RM48 juta menerusi program pembiayaan mikro bagi penjaja dan peniaga kecil dilihat sebagai tindakan tepat pada masanya dalam memahami keperitan yang dilalui golongan itu masa kini.

Penganalisis ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, langkah yang diambil itu sangat luar biasa melalui penyediakan pembiayaan berkonsepkan ‘pinjaman baik’ dikenali sebagai Qardhul Hassan.

“Perkara ini sangat jarang berlaku dengan pembiayaan secara syariah tanpa faedah dan menyifatkan pembiayaan yang diperuntukan kepada penjaja dan peniaga kecil sehingga RM50,000 menerusi program itu sangat ‘wow’ kerana menghayati keperitan golongan itu.

“Saya yakin inilah yang ditunggu rakyat selama ini terutama golongan peniaga untuk kembali bangkit semula selepas lama tidak mampu berniaga berikutan pandemik COVID-19.

“Seharusnya perkara ini sudah lama dilakukan kerajaan bagi meringankan beban golongan yang terjejas tanpa mengenakan bayaran pinjaman tanpa faedah yang boleh digunakan sebagai modal pusingan selain dapat melebarkan sayap perniagaan mereka,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memperuntukkan RM48.52 juta ringgit lagi untuk program pembiayaan mikro bagi penjaja dan peniaga kecil.

Melalui pembiayaan itu, Ismail Sabri berkata, Keluarga Malaysia dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil boleh memohon pembiayaan secara syariah dengan kadar keuntungan kosong peratus daripada Bank Rakyat, bagi menambah baik dan membangunkan semula perniagaan sedia ada.

Malah, pembiayaan yang dimohon antara RM10,000 hingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik hingga lima tahun boleh digunakan bagi tujuan pemulihan perniagaan seperti modal pusingan, pembelian peralatan atau perkakasan, bayaran gaji, bayaran sewa, bil utiliti dan lain-lain.

Bagaimanapun, Prof Nuradli berkata, walaupun menyediakan pembiayaan namun kerajaan tidak boleh membiarkan peniaga kecil bersendirian tanpa sokongan dan motivasi.

Sebaliknya, perlu ada bantuan-bantuan lain daripada segi sokongan terutama menyediakan kemahiran seperti tentang pengetahuan khidmat pelanggan bagi membolehkan mereka kembali dalam dunia perniagaan.

Katanya lagi, kemahiran berkenaan sangat penting bagi mengendalikan pengurusan perniagaan terutama kepada golongan yang baru berjinak dengan alam perniagaan.

“Kita sokong tindakan kerana sedia dana pembiayaan tetapi perlu perluaskan juga mengenai kemahiran supaya mereka boleh meneruskan pernigaan.

“Saya anggap ini sebagai peluang keemasan kepada peniaga, mereka boleh gunakan pembiayaan untuk lebarkan sayap perniagaan mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button