Berita UtamaDunia

Bangladesh gesa PBB iktiraf Palestin negara merdeka

Masyarakat antarabangsa digesa bertindak selesaikan konflik

DHAKA, 29 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Bangladesh menggesa masyarakat antarabangsa untuk melakukan lebih banyak lagi tindakan bagi mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan kepada krisis Palestin, dengan mengiktiraf sebuah negara merdeka dan sah di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Masyarakat antarabangsa mesti melakukan usaha yang tulen bagi menangani punca krisis Palestin, dan menamatkan pencerobohan Israel,” kata Duta Besar Bangladesh ke PBB, Rabab Fatima ketika berucap di Perhimpunan Agung PBB, semalam.

Fatima mengulangi sokongan Bangladesh yang tidak berbelah bahagi dan teguh hanya untuk rakyat Palestin bagi kemerdekaan sebuah negara, berdaya maju dan berdaulat, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya, di bawah penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967.

Beliau menambah bahawa pematuhan negara pengganas Israel terhadap semua hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan, serta resolusi PBB yang berkaitan termasuk resolusi 2334 (2016) mesti dipastikan.

“Kesinambungan perdebatan Palestin di sini adalah peringatan yang nyata mengenai kegagalan masyarakat antarabangsa untuk melindungi hak rakyat Palestin yang tidak boleh dipisahkan,” katanya.

Beliau juga mengkritik keadaan yang semakin buruk di wilayah Palestin diduduki akibat perobohan dan rampasan rumah serta bangunan, pengusiran, pemindahan paksa dan pertumpahan darah di tangan pihak berkuasa pendudukan Israel.

Ini adalah contoh pengabaian secara terang-terangan terhadap resolusi PBB dan undang-undang hak asasi manusia serta kemanusiaan antarabangsa, katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button