Berita Utama

Kaji semula pembelajaran bersemuka di sekolah: GPMS

Demi keselamatan, elak COVID-19 merebak libat pelajar sekolah

ALOR SETAR, 29 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Kaedah pembelajaran secara bersemuka di sekolah perlu dikaji semula berikutan penularan wabak COVID-19 yang semakin tinggi sehingga menjejaskan keselamatan pelajar.

Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kuala Kedah, Amirul Syahir Musa berkata, kebelakangan ini semakin ramai pelajar dijangkiti wabak berkenaan di sekolah dan ia meresahkan ramai pihak.

“Situasi itu menyebabkan ramai ibu bapa tidak mahu menghantar anak sekolah selepas berlakunya kes di sekolah, dan peningkatan kes semakin tinggi yang melibatkan kluster dalam kalangan pelajar.

“Justeru, kerajaan diminta untuk mengkaji semula kaedah yang terbaik bagi membendung wabak ini dalam kalangan pelajar agar tidak berlaku peningkatan kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam masa sama, Amirul turut mencadangkan, pelaksanaan sistem pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan bersemuka bergilir-gilir mengikut kapasiti diteruskan.

Langkah berkenaan katanya mampu mengurangkan kadar jangkitan serta dapat memastikan pelajar mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Semua pihak harus memastikan agar anak-anak di sekolah sihat dan tidak dijangkiti wabak, selain tidak menjadi pembawa kepada waris yang mempunyai masalah kesihatan yang lain di rumah,” ujarnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button