Berita Utama

PEMBELA syor akta khas p-hailing lindungi ‘rider’ ditindas

Banyak isu dibangkit di Parlimen tapi tak selesai secara tuntas

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 29 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Kerajaan perlu mewujudkan satu akta khas berkaitan perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) sebagaimana di negara-negara Barat bagi melindungi hak pekerja dalam sektor berkenaan.

Sehubungan itu, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menggesa Kementerian Sumber Manusia mempertimbangkan perkara itu supaya semua isu berkaitan penghantar makanan dapat diselesaikan.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, isu-isu membabitkan penghantar makanan sudah lama disuarakan dan pernah dibangkit di Parlimen, tetapi tiada penyelesaian tuntas sehingga kini.

“Isu ini melibatkan bayaran komisyen kepada rider, keselamatan atau perlindungan seperti caruman EPF dan SOCSO yang tidak ada.

“Majoriti ‘rider’ ini adalah anak muda dan banyak kes-kes kemalangan yang berlaku akibat mereka terpaksa langgar lampu merah untuk mengejar masa bagi mengelakkan nama mereka di blok daripada mendapat tempahan.

“Ini akan menjejaskan pendapatan mereka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas isu dan rungutan yang disuarakan penghantar p-hailing yang didakwa ditindas ekoran sistem yang tidak dikawal.

Bukan hanya berdepan masalah teknikal aplikasi, rider beragama Islam juga didakwa berisiko menghadapi kejatuhan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sekiranya mereka berhenti untuk menunaikan solat serta menolak mengambil pesanan berasaskan babi.

Mengulas perkara itu, Aminuddin mencadangkan supaya satu rundingan segera dibuat antara pihak syarikat penyelia, kementerian dan persatuan p-hailing.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button