Berita Utama

Peradaban Melayu bukan di ‘kampung’ tetapi bandar

Naratif berpunca dari proses dan dinamisme pembandaran kolonial

BANGI, 29 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Dinamisme pembandaran penjajahan – kolonial – secara halus membuatkan bangsa Melayu disisih dari kehidupan sebagai ahli bandar.

Hakikatnya, orang Melayu sering kali diikat dengan naratif bahawa hidup di kampung dan rumah tradisional usang di hujung kampung.

Ketua Penerangan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Hazwan Mohamad berkata, naratif ini berpunca dari proses dan dinamisme pembandaran penjajahan (kolonial) yang akhirnya membuatkan bangsa Melayu disisih.

Bahkan menyisih diri sendiri dari warisan kehidupan seharian orang Melayu sebagai ahli bandar secara halus dan tidak sedar, katanya.

“Peradaban Melayu adalah bandar dan kota bukan ‘kampung’!

“Ini menunjukkan bahawa bangsa Melayu dalam lipatan sejarah merupakan sebuah bangsa moden dan punyai peradaban yang dicemburui.” tegasnya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau juga mengulas mengenai buku ‘Pembandaran Kolonial dan Penghapusan Bangsa Melayu di Malaysia’ yang diterbitkan IRIS Institute.

Buku itu mendedahkan bagaimana penjajah Barat dan proksi mereka melaksanakan strategi Settler-Colonialism, strategi yang terancang untuk merombak demografi, pemilikan tanah, pegangan ekonomi serta pegangan politik orang Melayu agar membolehkan penjajah dan proksinya menguasai dan mengekalkan kuasa di rantau ini.

Hazwan berkata, kajian ini sangat penting bagi memperbetulkan naratif salah terhadap imej bangsa Melayu terhadap diri sendiri dan masyarakat luar.

“Datuk Dr Ahmad Murad Merican, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual ISTAC-IIUM menyebut buku ini memuatkan kajian yang menceritakan secara jelas penghapusan bangsa Melayu di bandaraya seperti Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button