‘Rider’ pun pengundi, kenapa tidak dibela?
Parti politik bantu? Lupakanlah, mereka cari bila mahu undi

BANGI, 29 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Jika golongan penghantar makanan (p-hailing) dianggap sebagai ‘frontliner’, mengapa menteri dan ‘politikus’ tidak membela nasib mereka yang meninggal dunia serta cacat akibat kemalangan ketika bertugas?
Malah, pelbagai tuntutan yang dibuat oleh persatuan p-hailing juga masih dipandang sepi dan tidak diambil peduli sehingga kini, kata Ketua Media Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Rashidi Haris.
Beliau berkata, isu berkaitan ‘rider’ p-hailing sudah lama berlaku dan rungutan itu masih berterusan diterima oleh PEMBELA sehingga ke hari ini.
“Usah diharap kepada parti, hatta parti yang dulunya uar-uar sana sini atau canang sana sini kononnya jaguh menegak dan bercakap tentang keadilan pun, apabila berkuasa langsung tidak ambil peduli dan berlaku adil terhadap mangsa pekerja syarikat XYZ yang bukan pekerja XYZ.
“Parti lain? Lupakanlah. Yang penting bagi politikus hanyalah undi apabila masa nak dekat mengundi menghadapi pilihan raya, masa itu muka politikus tak tahu malu ini akan muncul dan sanggup buat apa saja, semuanya mereka akan santuni, kononnya wakil rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas isu dan rungutan yang disuarakan penghantar p-hailing yang didakwa ditindas ekoran sistem yang tidak dikawal.
Bukan hanya berdepan masalah teknikal aplikasi, rider beragama Islam juga didakwa berisiko menghadapi kejatuhan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sekiranya mereka berhenti untuk menunaikan solat serta menolak mengambil pesanan berasaskan babi.
Rashidi akui sedih dengan nasib ‘rider’ yang tidak dibela apabila berlaku kemalangan yang menyebabkan kematian dan kecacatan ke atas mereka, kononnya atas alasan tiada akta berkaitan.
“Membela nasib rakyat? Suka atau tidak kita terpaksa tunggu apabila sudah dekat nak pilihan raya nanti.
“Mengapa tiada pembelaan, sedangkan semua rider adalah pengundi?,” katanya.