Berita Utama

Siasatan segera bersama SPRM berhubung video lesen ‘gerenti lulus’: JPJ

JPJ menyatakan perkara itu dipandang serius oleh pihaknya

PUTRAJAYA, 29 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuat siasatan segera dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung dakwaan seorang pempengaruh media sosial bernama Azrul Affandi Sobry mengenai ‘Lesen Terbang’.

JPJ dalam satu kenyataan menyatakan perkara itu dipandang serius, dan individu berkenaan akan dipanggil bagi mendapatkan kenyataan lanjut dan membantu siasatan.

“JPJ ingin menegaskan bahawa tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku yang melibatkan warga kerja JPJ sekiranya benar yang diuar-uarkan oleh saudara Azrul Affandi Sobry, di mana anggota penguatkuasa JPJ terlibat dalam aktiviti menjual lesen terbang,” menurut JPJ dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan JPJ itu menyatakan sehingga kini beberapa siri siasatan SPRM telah dijalankan contohnya pada 2018.

Menerusi hantaran di media sosial, Azrul Affandi mendakwa terdapat pegawai JPJ yang terlibat secara langsung dalam aktiviti menjual lesen memandu secara haram, dengan menerima wang sogokan biarpun tidak melepasi ujian yang ditetapkan di institut memandu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button