Berita UtamaDunia

Siri gagal jawab soalan mengenai Palestin

Pengguna media sosial berang Silicon Valley bersifat diskriminasi

SAN FRANCISCO, 29 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Syarikat gergasi Silicon Valley berdepan kemarahan global selepas video seorang personaliti TikTok mendedahkan, bagaimana pembantu suara Siri tidak mengenali bandar-bandar Palestin menjadi tular.

Dengan lebih 40,000 pengikut, Mayanora, yang dikenali sebagai Mindful Traveller di TikTok, meminta Siri memberitahu masa di Palestin dan pembantu suara itu menjawab: “Saya tidak tahu pukul berapa di sana sekarang.”

Bagaimanapun, apabila dia membuat susulan dengan soalan yang sama untuk Israel, Siri segera menjawab dengan masa yang tepat, “Di Baitulmaqdis, Israel, jam 13:20.”

Bagi menguatkan lagi sikap berat sebelah Apple terhadap rakyat Palestin dalam videonya, Mayanora meminta Siri memberitahunya waktu di bandar Ramallah dan Hebron.

“Maaf, saya tidak tahu pukul berapa di Ramallah,” kata Siri.

Jawapan sama turut diberikan mengenai bandar Hebron.

Dia terus bertanyakan masa di Baitulmaqdis Timur, bagaimanapun Siri sekali lagi memberi jawapan yang sama.

Mayanora memberitahu Metro bahawa dia menyedari isu itu apabila membaca mengenai perisian pengintip Pegasus dan sekatan membuat hantaran di media sosial untuk rakyat Palestin ketika pergerakan Sheikh Jarrah.

Marah dengan prasangka ketara Apple terhadap rakyat Palestin, orang ramai menggunakan media sosial untuk menuduh gergasi teknologi itu sebagai bersifat perkauman dan diskriminasi.

Seorang penulis Palestin yang tinggal di Gaza, Omar Ghraieb, menulis: “Hai @Apple @AppleSupport, kami melihat anda, tetapi anda tidak melihat kami! Betulkan. Palestin wujud, Palestin adalah negara yang dijajah. Kekurangan anda memalukan, anda jelas menyokong pendudukan.”

“Siri tidak tahu masa di Palestin, @AppleSupport? Ini perkauman,” tulis pengguna Twitter lain. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button