Berita Utama

Tabung Anak Yatim COVID-19 anjuran ISMA sasar kutipan RM1 juta

Tawar 4 pakej bantuan kepada 5,000 anak yatim hingga usia 18 tahun

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 29 Rabiulakhir 1443H, SabtuTabung Anak Yatim COVID-19 yang dilancarkan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyasarkan kutipan RM1 juta bagi membantu lebih daripada 5,000 kanak-kanak yang menjadi anak yatim kesan pandemik coronavirus yang melanda negara.

Presiden ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, buat masa ini tabung berkenaan berjaya mengumpul lebih RM50,000 sejak dilancarkan secara maya pada awal November lalu.

“Objektif utama mewujudkan tabung ini adalah memberi bantuan kewangan kepada kanak-kanak yang menjadi yatim terutama meneruskan persekolahan, selain meringankan kos sara hidup anak-anak berkenaan.

“Buat masa ini seramai 31 orang kanak-kanak yang telah dikenal pasti dan akan menanggung sara diri termasuk kos pembelajaran,” katanya ketika berucap melancarkan Tabung Anak Yatim COVID-19 anjuran Biro Keluarga Masyarakat (BKM) ISMA, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi BKM, Cikgu Asma Ahmad.

Mengulas lanjut, Ustaz Muhammad Fauzi berkata, kutipan yang diterima akan diagihkan kepada anak-anak yatim melalui wakil ISMA di setiap negeri.

Katanya lagi, sebanyak empat pakej tajaan diwujudkan melalui tabung tersebut iaitu Pakej Firdaus yang menyasarkan tajaan keseluruhan kos saraan hidup dan perbelanjaan persekolahan bernilai RM1,700 setahun dengan bantuan setiap bulan RM100 bagi seorang anak yatim.

“Manakala Pakej Adnin pula merangkumi sebanyak RM1,200 setahun sementara itu Pakej Naim menawarkan bantuan sebanyak RM600 setahun dan Pakej Ma’wa pula turut disediakan dengan bantuan RM50 sebulan,” katanya.

Kesemua anak-anak yatim itu akan ditaja sepenuhnya sehingga usia mereka mencecah 18 tahun merangkumi bantuan daripada segi perbelanjaan persekolahan dan kos sara hidup.

Sementara itu, Cikgu Asma pula berkata, sambutan yang diterima sangat menggalakkan sejak tabung dilancarkan secara maya pada November lalu.

Bagaimanapun, beliau berharap lebih banyak badan-badan korporat, pihak swasta dan individu menyumbang kepada tabung berkenaan sekali gus menambahkan jumlah tabungan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button