Berita Utama

UMNO mungkir janji punca PAS tolak MN

PAS akan lawan sesiapa sahaja walaupun pihak berkenaan mempunyai kekuatan

LARUT, 29 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – PAS membuat keputusan menolak Muafakat Nasional (MN) selepas UMNO lari daripada perjanjian yang ditetapkan dan tidak mengikut piagam ketika menjalinkan kerjasama.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, berdasarkan piagam dipersetujui mereka bersedia menerima parti-parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tetapi kini apabila sampai peringkat pelaksanaan, katanya lagi, kepimpinan UMNO hanya mahukan PAS sahaja dalam MN.

“Bermakna ini sudah lari daripada perjanjian, ini tak betul, sedangkan kita berpegang pada perjanjian.

“UMNO mahu PAS dan parti mereka sahaja dalam MN, UMNO tak boleh mengarahkan PAS kerana PAS parti tersendiri.

“Nak suruh PAS dengan UMNO sahaja (dalam MN) tak boleh, sebab kita dah berjanji dengan parti-parti lain, kita sudah tetapkan tarikh nak berjumpa dengan Bersatu dan parti-parti lain, bahkan nak terima Bersatu bersama-sama dalam MN,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Abdul Hadi menegaskan PAS terbuka tetapi UMNO hanya mahukan parti itu sahaja dan menolak parti-parti lain.

Sementara itu, ketika berucap di majlis tersebut, Abdul Hadi menegaskan, PAS akan melawan sesiapa sahaja walaupun pihak berkenaan mempunyai kekuatan.

“Siapa pihak yang degil itu? Kita akan lihat nanti, tapi satu contoh sudah berlaku di Melaka (PRN) apabila UMNO degil kita lawanlah.

“Dalam PRU15 nanti tak tahu lagi. Boleh jadi UMNO kena fikir balik kerana dalam PRN Melaka undi kepada UMNO tak naik, undi ditakuk lama, bagaimana kalau semua keluar habis mengundi? Jadi dia (UMNO) kena fikir baliklah,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button