Berita Utama

Isu beg sekolah berat: i-Guru syor KPM manfaatkan e-buku teks

Kemudahan pembelajaran abad 21 perlu ditingkatkan

BANGI, 30 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Baru-baru ini tular isu bebanan beg sekolah terutama membabitkan pelajar sekolah rendah.

Pendedahan seorang aktivis dilaporkan mendapat respon daripada netizen yang turut sama berkongsi masalah yang dialami anak-anak mereka.

Mengulas isu berkenaan, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan mengakui dalam era digital, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengoptimumkan pembelajaran secara e-learning bagi mengurangkan beban murid membawa beg sekolah.

Ia termasuk memanfaatkan e-buku teks, mengaktifkan pembelajaran abad 21 serta menyelesaikan kerja sekolah di sekolah.

Bagaimanapun bagi melaksanakan cadangan itu, aspek kemudahan capaian internet, penggunaan alat peranti dan kemudahan pembelajaran abad 21 perlu ditingkatkan.

Beliau berkata, untuk membina pendidikan yang lestari dan menjamin kesejahteraan dan kesihatan murid, pihaknya berharap pihak KPM mengambil langkah proaktif dan tindakan yang sewajarnya demi kebaikan semua pihak.

Justeru, beliau bersetuju supaya pihak KPM melihat semula isu beban beg sekolah yang dihadapi pelajar.

“Lagipun berdasarkan Surat Siaran KPM Bilangan 8 Tahun 2018 telah menjelaskan panduan menangani isu beg berat murid. Tinggal lagi sejauh mana pelaksanaannya dilakukan mengikut surat siaran ini.

“Garis panduan sudah ada, tinggal lagi nak laksanakan dan kuat kuasakan. Pihak KPM boleh ulang siaran semula surat siaran tersebut kepada pihak PPD, JPN dan sekolah-sekolah.

“Kajian juga telah dijalankan oleh KPM pada tahun 2017 dan hasil pemantauan oleh Ketua Setiausaha KPM dan Ketua Pengarah KPM pada 17 Ogos 2018 telah mendapati beg murid khususnya murid sekolah rendah masih berat,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau menggesa pihak KPM mendapatkan pandangan dan merujuk kepada pakar-pakar kesihatan sama ada beban beg sekolah akan memberi kesan kepada kesihatan murid terutama dari sudut tumbesaran demi memastikan kesejahteraan murid apabila hadir ke sekolah.

Dalam hal ini, jika semua pihak terutama pentadbir sekolah, guru, murid serta ibu bapa faham dan memahami apa yang ada dalam garis panduan itu, isu berkenaan dapat diatasi.

“Satu perkara lagi ialah kekangan subjek yang banyak pada satu hari dengan jadual waktu yang padat turut memberi kesan kepada beban beg murid. Tidak termasuk lagi botol air, bekas makanan murid,” katanya.

Selain itu, isu mata pelajaran yang diajar di Tahap 1 dan 2 sekolah rendah juga perlu dikaji semula sama ada ia sesuai dilaksanakan memandangkan bilangan mata pelajaran yang diajar adalah sembilan tidak termasuk lagi mata pelajaran tambahan.

“Kita perlukan eko sistem yang mensejahterakan emosi, mental dan fizikal murid dan pendidik.

“Silibus untuk tahap satu perlu fokus kepada, penguasaan literasi dan numerasi, pembentukan jati diri seperti subjek agama dan moral serta kecergasan fizikal dan kemahiran contohnya komunikasi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button