Berita Utama

Isu ‘rider’ ditindas: Syarikat p-hailing perlu dipantau ketat agensi kerajaan

Sudahlah ditekan tiada kerja, syarikat kapitalis pula ambil kesempatan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 30 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Kerajaan perlu bertanggungjawab mewujudkan polisi dan regulasi terhadap syarikat penyelia perkhidmatan penghantar makanan (p-hailing) supaya tiada lagi tindakan sesuka hati menindas golongan ‘rider’.

Ketua Belia Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Nor Aizat Rahimi berkata, syarikat penyelia p-hailing perlu diselia dan dipantau ketat oleh agensi kerajaan.

Ini kerana, katanya, penghantar makanan perlu diiktiraf status sebagai pekerja selain mendapat hak sepatutnya seperti industri lain termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso dan insurans.

“Sekarang ini pun kita difahamkan tiada kementerian yang mahu ambil tanggungjawab bidang kuasa.

“Isu rider p-hailing bukan isu yang boleh ditepis-tepis begitu sahaja,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, rider beragama Islam mendakwa, mereka berisiko menghadapi kejatuhan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sekiranya berhenti untuk menunaikan solat serta menolak mengambil pesanan berasaskan babi.

Malah, mereka juga berdepan pelbagai isu lain yang menggugat pendapatan seperti kadar upah dipotong sesuka hati oleh kerana sistem yang tidak dikawal.

Mengulas lanjut, Nor Aizat menyifatkan pendedahan itu sangat mengejutkan, dan kesal golongan ‘rider’ – kebanyakannya anak muda – ditindas sedemikian.

“Anak muda yang sekian lama ditekan dengan isu tiada pekerjaan kini ditekan lagi oleh syarikat kapitalis yang mengambil kesempatan atas terdesaknya situasi kehidupan anak-anak muda,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button