Berita Utama

Khaled Nordin tempelak Muhyiddin, makin keliru sejak tak jadi PM

Lupakah tersingkir kerana Bersatu tak dominan dalam kerajaan PN?

BANGI, 30 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin nampaknya semakin keliru semenjak tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan tewasnya Perikatan Nasional (PN) di Melaka.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian susulan kenyataan Pengerusi PN itu bahawa sistem parti politik yang dominan, tidak lagi sesuai pada masa kini.

“Agaknya beliau lupa bahawa beliau tersingkir daripada jawatan Perdana Menteri kerana Bersatu itu tidak dominan dalam kerajaan PN.

“Kerana parti beliau Bersatu itu kecil-lah maka kerajaan pimpinan beliau begitu mudah sekali tersungkur,” kata Khaled menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapan sempena perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan ke-50, semalam Muhyiddin memberi amaran mengenai kesan buruk akibat sistem parti politik dominan seperti yang berlaku pada era pentadbiran BN sebelum gabungan itu tumbang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Katanya, pemusatan kuasa yang diperolehi BN menyaksikan salah guna kuasa dan rasuah berlaku begitu berleluasa berikutan ketiadaan prinsip semak dan imbang.

Muhyiddin memberi amaran bahawa, lama kelamaan kuasa politik yang dominan semakin berpusat kepada individu yang memimpin parti dan kerajaan hingga membuatkan semua pihak terpaksa akur dengan pemimpin parti walaupun ia tidak semestinya betul.

Membidas lanjut kenyataan itu, Mohamed Khaled berkata, mungkin Muhyiddin tidak teringat bahawa kestidakstabilan politik yang Malaysia alami selama 42 bulan lepas adalah kerana tiadanya parti terbesar dan dominan dalam membentuk kerajaan.

Keadaan itu menyebabkan berlakunya tragedi puluhan Ahli Parlimen melompat parti demi memperdagangkan kedudukan mereka bagi membentuk kerajaan, katanya.

“Malaysia tidak pernah menyaksikan episod khianat mandat rakyat dalam magnitud sedemikian. Hanya semenjak Bersatu menjadi kerajaan dalam PH dan PN, budaya politik curang itu menjadi kelaziman.

“Atau juga beliau tidak lagi boleh membezakan bahawa Malaysia ini adalah sebuah demokrasi ala Westminster. Maknanya hanya parti terbesar dan terkuat dijemput untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, di seluruh dunia, pergerakan politik kepartian bertungkus lumus untuk memenangi pilihan raya dengan kerusi terbanyak.

“Hanya dengan kerusi terbanyak, kerajaan majoriti dapat dibentuk. Dengan majoriti yang selesa, kerajaan boleh fokus dengan membangun negara dan bukannya menyelamatkan kuasa,” katanya.

Atas sebab itu, Mohamed Khaled kononnya mahu melihat berapa bilangan kerusi yang akan Bersatu tandingi dalam PRU akan datang.

“Dalam PRU ke 13, mereka menang hanya 13 kerusi sahaja tetapi pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri.

“Mungkin kerana itu, Bersatu selesa untuk hanya menjadi parti kecil tetapi memerlukan nyawa dari UMNO.

“Insya-Allah dalam PRU akan datang, UMNO akan menjadi parti dominan dan mengembalikan demokrasi ala Westminster yang sebenarnya kepada Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button