Rejim haram makin zalim tembak mati pemuda Palestin sesuka hati
Dakwa kononnya mangsa cuba tikam sebelum lepas tembakan dekat

RAMALLAH, 30 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Seorang pemuda Palestin terbunuh selepas ditembak polis pengganas Israel di sekitar Pintu Damsyik di Baitulmaqdis, petang semalam.
Mangsa dikenali sebagai Shawkat Salima, 25, yang juga penduduk di wilayah Salit Tebing Barat ditembak secara jarak dekat oleh Israel sehingga menyebabkan dia terkorban.
Laporan rejim haram Israel mendakwa, tembakan itu dilepaskan kononnya kerana mangsa cuba menikam pegawai polis di lokasi kejadian.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRC) berkata, pasukan penjajah Israel menafikan akses pegawai perubatannya ke lokasi kejadian untuk memberikan pertolongan cemas sebelum mangsa meninggal dunia.
PRC berkata, sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin cedera akibat ditembak Israel ketika pertempuran di Kota Lama Baitulmaqdis susulan insiden maut itu. – Agensi