Berita Utama

Sekat jual arak: Guan Eng dakwa Kerajaan Persekutuan campur tangan gaya hidup bukan Islam

‘Ketetapan baharu kerajaan sekarang dipengaruhi dasar ekstremis PAS’

KUCHING, 30 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa Kerajaan Persekutuan masuk campur gaya hidup dan amalan perniagaan orang bukan Islam di negara ini.

Dakwanya, ini dapat dilihat dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melarang kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina daripada menjual minuman keras, dakwanya. 

Ahli Parlimen Bagan itu juga dilaporkan tidak berpuas hati apabila kerajaan Perlis melalui majlis tempatannya mengehadkan penjualan bir di kedai kopi di negeri itu kepada hanya empat karton sehari.

“Ini bukan sahaja menyebabkan beban kewangan tambahan dengan membayar kos lesen tambahan oleh kedai kopi dan restoran melebihi RM1,000, tetapi juga dengan sengaja mengenakan sekatan yang tidak perlu dan campur tangan dalam gaya hidup dan amalan perniagaan ke atas orang bukan Islam,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng dilaporkan berkata demikian sebagai mengulas laporan China Press berkenaan had penjualan empat kotak minuman keras sehari kepada pengusaha restoran dan kopitiam oleh kerajaan negeri, yang berkuat kuasa bulan depan.

Selain itu, terdapat syarat tambahan di mana semua kedai kopi perlu memohon lesen minuman keras untuk menjual minuman itu.

Memetik pegawai kastam, China Press melaporkan, kedua-dua peraturan akan berkuat kuasa pada Januari, selaras dengan keperluan peraturan eksais 1976.

Mengulas perkara itu, Guan Eng mendakwa, keputusan terbaharu Jabatan Kastam bermula tahun depan ke atas semua kedai kopi dan restoran itu akan memberi kesan buruk kepada lebih 10,000 pertubuhan perniagaan di seluruh negara.

Dia mendakwa dengan margin keuntungan yang kecil untuk menjual bir, beberapa kedai kopi kecil mungkin terpaksa berhenti menjual bir kerana mereka tidak mampu membayar yuran pelesenan melebihi RM1,000.

“Semasa saya menjadi Menteri Kewangan dan juga Menteri Kewangan terdahulu, ini tidak pernah dibangkitkan atau menjadi isu. 

“Ini adalah ketetapan baharu kerajaan sekarang yang dipengaruhi oleh dasar ekstremis PAS,” dakwa Guan Eng seperti dilapor News Straits Times.  

Katanya, Menteri Kabinet bukan Islam khususnya dari Sabah dan Sarawak mesti bertanggungjawab sepenuhnya dan menjelaskan mengapa mereka tidak menghalangnya sebaliknya membenarkan atau menyokong dasar ekstremis itu.

“Menyokong menteri bukan Islam termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya Sarawak akan datang hanya akan membawa kepada hakisan malah rampasan hak bukan Islam untuk memenuhi dasar ekstremis PAS,” dakwanya.

Berikutan itu, Guan Eng menggesa kerajaan tempatan khususnya di negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH) supaya tidak melaksanakan peraturan sedemikian yang menyekat dan mengehadkan hak sedia ada orang bukan Islam.

“DAP juga akan mengarahkan peguam kami untuk meneliti peraturan untuk mencabar di mahkamah mengenai sekatan ke atas kedai kopi dan restoran yang menjual bir yang memerlukan lesen minuman keras ini,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button