Dunia

Tragedi gunung berapi Semeru ragut 1 nyawa, 41 melecur

Puluhan mangsa terperangkap dalam bangunan, kawasan lombong

JAKARTA, 30 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Suasana cemas dihadapi penduduk setempat selepas gunung berapi Semeru di Pulau Jawa, Indonesia meletus semalam telah menyebabkan seorang meninggal dunia.

Video dikongsikan pegawai kecemasan menunjukkan penduduk berlari ketika kepulan asap dan abu tebal menyelubungi kampung berhampiran wilayah Jawa Timur.

Timbalan Ketua Daerah Lumajang, Indah Masdar memaklumkan, insiden berkenaan menyebabkan seorang maut dan 41 yang lain cedera melecur.

Indah telah mengarahkan helikopter penyelamat segera membawa keluar beberapa mangsa yang terperangkap di dalam bangunan di perkampungan terbabit.

“Kami berada dalam kesusahan besar. Ia menyedihkan kerana keluarga mereka semua menangis,” katanya yang memaklumkan sekurang-kurangnya 10 orang terperangkap.

Agensi Mitigasi Bencana (BNPB) memberitahu bahawa 35 pesakit sedang dirawat di fasiliti perubatan tempatan.

Sementara itu, Ketua Daerah Lumajang, Thoriqul Haq berkata, beberapa pelombong pasir terperangkap berhampiran lombong, namun tiada butiran lanjut didedahkan.

Haq memberitahu bahawa jalan dan jambatan yang menghubungkan Lumajang dan bandar berhampiran Malang telah terputus, menyebabkan satu daerah berhampiran tidak mendapat akses bantuan perubatan.

“Ini adalah keadaan yang mendesak dan cepat berlaku sejak ia meletus,” katanya yang mengesahkan operasi pemindahan penduduk sedang berjalan tanpa menyatakan lanjut.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button