Berita Utama

UMNO tak pernah mungkir MN, balas Tok Mat pada Hadi Awang

Pihak nak dibawa masuk dalam MN mestilah serasi dengan UMNO-PAS

KUALA LUMPUR, 30 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Muafakat Nasional (MN) tidak ditubuhkan dengan matlamat Bersatu perlu menjadi sebahagian daripadanya, demikian menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau menerusi catatan di Facebook rasmi hari ini sebaliknya berkata, pihak yang ingin dibawa masuk ke dalam MN perlulah serasi dengan kepentingan UMNO dan PAS.

“PAS dan seluruh Malaysia telah arif bahawa perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO (2020 yang) memutuskan bahawa UMNO tidak akan melakukan apa jua kerjasama dengan Bersatu. UMNO terikat dengan pendirian ini.

“Jadi amatlah munasabah untuk realiti ini difahami dan diterima sebelum PAS mencadangkan keanggotaan baharu dalam MN,” katanya.

Kenyataan Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu adalah sebagai mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam yang dilapor berkata UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk.

Abdul Hadi berkata, berdasarkan piagam MN, kedua-dua parti itu sedia menerima parti lain termasuk Bersatu dan pertubuhan bukan kerajaan.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Negeri Sembilan berkata, UMNO tidak pernah memungkiri MN dan menjelaskan piagam MN adalah persefahaman yang tidak mengikat mana-mana pihak berikutan ia tidak didaftarkan sebagai sebuah gabungan politik.

“Sebabnya adalah UMNO mahu orang Melayu melihatnya sebagai wadah untuk semua dan bukan instrumen politik UMNO dan PAS semata-mata. Jadi janganlah kerana UMNO tidak mahu menerima Bersatu, MN itu (akan) PAS tinggalkan.

“Kepentingan orang Melayu dan Islam itu jauh lebih besar daripada kepentingan Bersatu menyertai MN. Jadi, janganlah kita melakukan sesuatu yang akhirnya akan menjauhkan lagi orang Melayu daripada MN.

“Semoga Tan Sri Presiden PAS akan terus bersama UMNO dalam meneroka pelbagai dimensi baru dalam membangunkan keberdayaan bangsa Melayu, insya-Allah,” katanya.

Muafakat Nasional merupakan kerjasama politik UMNO dan PAS yang ditubuhkan pada Himpunan Penyatuan Ummah, 14 September 2019.
– Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button