Berita Utama

Warganet tak puas hati, lantikan Penasihat Khas PM bazir duit rakyat

‘Menteri tiada fungsi, rakyat minta pantau harga barang pun susah’

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 30 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Orang ramai meluahkan rasa tidak puas hati dengan perkembangan terbaharu dalam kerajaan, apabila dilaporkan seorang lagi Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dilantik dalam masa terdekat.

Menjelaskan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, Penasihat Khas dalam bidang kesihatan itu kini dalam proses lantikan.

Katanya, anggaran kos bulanan keseluruhan bagi setiap pejabat Penasihat Khas yang dilantik termasuk kos pegawai di pejabat itu adalah RM50,000.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia).

Manakala, Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga dilaporkan dilantik sebagai Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri.

Mengecam pelantikan terlalu banyak Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, salah seorang pengguna laman Facebook, Ayiee Lee berkata, tindakan itu umpama satu pembaziran duit rakyat.

“Membazir duit rakyat bayar gaji mereka ni berpuluh ribu tiap bulan. Kami nak duit Kumpulsn Simpanan Wang Pekerja (KWSP) sendiri RM10,000 ‘one off’ pun tak lulus lagi,” katanya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Norazlina Darus berkata, pelantikan terlalu ramai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri seolah-olah menunjukkan bahawa pemimpin tidak cekap melakukan tugasnya.

“Ramai-ramai penasihat nampak macam reti buat kerja pula,” katanya.

Muhamad Shafiq yang kesal dengan situasi semasa juga meminta kerajaan untuk memikirkan keadaan ekonomi rakyat yang memerlukan.

“Jangan fikir penasihat sampai RM50,000 sebulan itu, tapi tolong fikir rakyat dahulu. Ya betul dengan keadaan sekarang perlukan kesihatan yang baik untuk semua, tetapi dalam masa sama rakyat perlu hidup juga.

“One off KWSP smpai ke sudah sunyi sepi saja walhal simpanan duit rakyat sendiri juga. Minta tolonglah fikir rakyat dahulu. Penasihat itu ya betul penting, tapi rakyat lagi penting,” katanya.

Selain itu, pengguna Facebook, Rasidi Bakar pula meluahkan rasa hairan melihat Malaysia, walaupun kecil tetapi antara negara yang paling banyak melantik menteri berbanding negara lain.

“Tak cukup dengan menteri-menteri sedia ada yang dilantik, dilantik lagi penasihat-penasihat peribadi. Dah ada menteri agama, dilantik lagi penasihat agama, dah ada menteri kesihatan dilantik nak lagi penasihat kesihatan.

“Nampaknya setiap kementerian yang ada di Malaysia ini tak cukup dan perlu dilantik lagi penasihat kepada menteri dan juga Perdana Menteri,” katanya.

Turut berang dengan pelantikan tersebut, Moon Cherie kesal duit pembayar cukai ‘dihabiskan’ pada perkara sedemikian sedangkan hasil kerja tidak seberapa. 

“Gila betul perabihkan duit pembayar cukai. Duit setiap bulan masuk, kerja tak jalan. Menteri yang tiada fungsi. Rakyat minta pantau harga barang pun susah. Minta KWSP one off sampai sekarang krik-krik,” katanya.

Boni Adryena Audreyana pula berkata, antara sebab kenapa negara kecil seperti Singapura dan Brunei lebih makmur adalah kerana tiada ketirisan pada peringkat pengurusan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button