Berita Utama

‘Cipta alasan konon UMNO tak patuh piagam ibarat tukar fatwa ikut selera politik’

PAS selalu kata sokong MN tapi di Melaka tolak pelawaan UMNO

BANGI, 1 Jamadilawal 1443H, Isnin – Muafakat yang dibina harus membawa berkat dan tidak sesekali mengundang padah terhadap mana-mana pemegang taruh kemuafakatan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada keberkatan dalam istilah muafakat apabila sebilangannya diselubungi agenda keegoan, kebencian dan kepura-puraan.

“Muafakat biarlah membawa kebaikan kepada semua, bukan untuk dimanipulasi oleh yang berdendam kesumat ke atas UMNO.

“Sejarah ketamadunan mengajar bahaya musuh dalam selimut licik mengambil kesempatan atas kenaifan melakukan kemusnahan.

“Kerana itu UMNO perlu bijaksana mentafsir antara muafakat yang jujur berbanding sebuah muafakat yang terselindung tipu daya,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Tegas beliau, mencipta pelbagai alasan baharu untuk menjustifikasikan kononnya UMNO tidak mematuhi piagam merupakan alasan politik ibarat menukar fatwa mengikut selera politik.

Malah, beliau berpandangan, seseorang yang bergelar ulama harus mengikut ‘nas’ yang sahih bukan memanipulasi hukum mengikut selera politik untuk memperdagangkan agama demi mencapai objektif siasah.

“Natijah gagal menilai itu sangat tidak baik terhadap UMNO, malah musibahnya jauh lebih berbahaya kepada rakyat dan negara,” katanya.

Atas dasar itu, Ahmad Zahid mempercayai Muafakat Nasional (MN) yang asal adalah sebenar-benar muafakat yang terbina atas keikhlasan.

“MN di atas landasan perjuangan yang sama iaitu keinsafan untuk berpadu menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman,” katanya.

Malah beliau berpandangan selama ini, UMNO telah berusaha mengekalkan kemuafakatan itu termasuk dalam PRN Melaka, namun bertepuk sebelah tangan.

“Pimpinan PAS sering menyatakan sokongan MN, tetapi di Melaka menolak pelawaan UMNO untuk berpadu atas nama MN.

“Pimpinan PAS juga membuat keputusan untuk bergandingan dan bersama PPBM yang diketahui tujuannya menjatuhkan UMNO,” katanya.

Bagaimanapun, UMNO tetap menghormati pendirian dan hak pimpinan PAS untuk bersama PN itu kerana inilah sebuah negara demokrasi.

Malah, UMNO tidak pernah mengarahkan PAS tentang hala tuju politiknya atas semangat kemuafakatan MN yang dimeterai.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button