Dunia

Cuaca buruk, usaha selamatkan mangsa gunung berapi Semeru dihentikan

Penduduk diminta kekal waspada kerana masih di tahap 2

JAKARTA, 1 Jamadilawal 1443H, Isnin – Hujan lebat dan angin menghentikan sementara usaha menyelamat mangsa gunung berapi Semeru yang meletus kelmarin, sehingga mengorbankan 14 nyawa. 

Gunung tertinggi di Pulau Jawa itu meletus pada Sabtu menyebabkan abu tebal menyelubungi perkampungan sekitar dan mengakibatkan lebih 50 penduduk cedera.

Pasukan penyelamat membabitkan anggota polis, tentera dan dibantu penduduk setempat sedang giat menjalankan operasi menggali lumpur bagi mengeluarkan mangsa.

Jurucakap agensi mencari dan menyelamat, Dewa Arya berkata, pasukannya sedang berusaha untuk membantu lima keluarga, namun terpaksa ditangguhkan sementara waktu ekoran keadaan cuaca buruk.

Terdahulu, Ketua Balai Cerap Gunung Berapi Semeru, Liswanto memberi amaran kepada penduduk supaya berwaspada ekoran sebahagian mereka mula pulang ke rumah bagi memeriksa harta benda dan ternakan.

“Status Gunung Semeru masih di tahap dua, bermakna pada tahap ini orang ramai perlu berwaspada kerana potensi ancaman masih ada,” katanya.

Aliran lava dari gunung berkenaan memusnahkan sebuah jambatan strategik yang menghubungkan dua kawasan di daerah berdekatan Lumajang dengan bandar Malang.

Pusat penempatan dan kemudahan kesihatan disediakan untuk lebih 1,000 penduduk yang telah diarahkan berpindah.

Gunung Semeru adalah salah satu daripada lebih 100 gunung berapi yang aktif di Indonesia. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button