Berita Utama

MN boleh runtuhkan negara jika UMNO, PAS saling pamer taring?

Jika 2 parti ini bersatu, keadaan negara boleh jadi kukuh

Oleh: Zuhayati Yazid

BANGI, 21 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Kewujudan Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhkan untuk menjaga kedudukan agama Islam dan orang Melayu boleh menjadi penyebab kepada keruntuhan negara sekiranya ia disalah guna.

Ini terutama bila dua parti yang menjalinkan kerjasama iaitu UMNO dan PAS saling mempamerkan taring masing-masing dalam usaha untuk mencapai sesuatu yang diidamkan.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain menegaskan, keadaan tersebut perlu diperbetulkan dengan kadar segera bagi mengelak hubungan MN berada di hujung tanduk.

“Sedangkan keadaan tersebut (pamer kekuatan) hanya menjadi keadaan bertambah simpang siur, padahal kalau mereka bersatu keadaan menjadi lebih kukuh.

“Mereka tidak melihat ke arah itu tetapi merasakan semakin kukuh dan saya melihat mereka ada kepentingan diri menyebabkan menolak untuk bersatu membentuk kerajaan yang lebih kukuh,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan UMNO Kelantan untuk memutuskan hubungan dengan PAS selepas gagal mencari keserasian meskipun banyak perbincangan diadakan.

Prof Ahmad Atory turut memberi contoh keadaan di Terengganu yang mana UMNO sehingga kini tidak dapat menerima kehadiran kepimpinan PAS walaupun mengiktiraf MN.

“UMNO Terengganu sehingga kini masih tidak boleh terima dengan keadaan dan mereka tetap melihat PAS sebagai seteru utamanya,” katanya.

Beliau berpandangan, situasi carca marba tersebut akan memberi kesan kepada negara dan akhirnya rakyat juga yang menjadi mangsa.

“Kita tengok sahaja apa yang berlaku hari ini, kestabilan negara yang tidak kukuh menyebabkan pelabur-pelabur luar mencari lokasi yang lebih stabil, selain itu pembangunan yang perlahan.

“Keadaan itu akan mewujudkan masalah pengangguran yang semakin luas jurang yang membawa kesan kepada rakyat, yang akan hidup dalam ketakutan dan tidak aman sepanjang masa,” katanya.

Beliau berpandangan, dalam membentuk pentadbiran yang kukuh, negara memerlukan pemimpin yang berintegriti dan disegani.

Namun sayangnya, kata beliau, semua ini sudah hilang di negara ini berikutan pelbagai faktor termasuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“Kita sebenarnya ketandusan pemimpin yang menjadi contoh, yang boleh dihormati rakyat sekali gus dalam membentukan kepimpnan yang kuat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button