Berita UtamaDunia

Ketua Junta Sudan nafi tentera boleh tanding pilihan raya 2023

Hanya yang tandatangan perjanjian damai 2020 boleh jadi calon

KHARTOUM, 1 Jamadilawal 1443H, Isnin – Ketua Junta Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan menafikan bahawa anggota tentera dalam pentadbiran peralihan boleh bertanding untuk pilihan raya negara itu pada Julai 2023.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, pejabat Burhan memberikan jaminan bahawa komponen tentera dan anggota separa tentera tidak akan mengambil bahagian dalam pilihan raya akan datang.

“Presiden Majlis Berdaulat menafikan apa yang dilaporkan Agence France-Presse mengenai penyertaan tentera dalam pilihan raya akan datang,” kata kenyataan itu.

Pada hari Sabtu, Burhan dalam temu bual dengan AFP berkata, bahawa perjanjian damai 2020 dengan kumpulan pemberontak ‘memberikan hak kepada beberapa daripada mereka dalam tempoh peralihan untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas peralihan.’

Bagaimanapun, Burhan memaksudkan bahawa hanya bekas kumpulan pemberontak yang menandatangani perjanjian damai pada 2020 boleh menjadi calon dalam pilihan raya yang akan datang.

Burhan telah mengetuai pengambilalihan tentera pada akhir Oktober, membatalkan kerjasama dengan parti politik awam.  

Beliau membubarkan kerajaan peralihan negara pada 25 Oktober dan menangkap pemimpin awam. 

Bagaimanapun, beliau meletakkan semula Abdalla Hamdok sebagai Perdana Menteri berikutan kutukan antarabangsa dan bantahan besar-besaran.

Rampasan kuasa itu juga mendapat kecaman antarabangsa selepas penahanan berpuluh-puluh pegawai utama dan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan.  

Sekurang-kurangnya 44 orang terbunuh semasa demonstrasi, kebanyakannya akibat ditembak pasukan keselamatan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button