Kritik sekatan jual arak, Guan Eng buktikan DAP parti politik songsang
Niaga arak bukan amalan orang bukan Islam, sebaliknya aktiviti perniagaan kaut keuntungan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 1 Jamadilawal 1443H, Isnin – Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mengkritik sekatan penjualan minuman keras dengan menyifatkan ia satu campur tangan pihak kerajaan Persekutuan dalam hidup orang bukan Islam, membuktikan bahawa DAP adalah parti politik songsang.
Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, keputusan kerajaan melaksanakan sekatan penjualan arak adalah selari dengan kehendak dan tuntutan Islam yang mana merupakan agama Persekutuan.
“Setiausaha Agung DAP sebenarnya bukan sahaja membawa agenda songsang malah beliau telah menghina Islam sebagai agama Persekutuan.
“Beliau juga telah mengkhianati sumpahnya di hadapan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) semasa majlis mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Tegasnya, sekatan penjualan arak yang dilaksanakan beberapa negeri termasuk Perlis sepatutnya mendapat sokongan daripada semua pimpinan parti termasuk DAP sendiri.
“Tiada mana-mana agama yang menggalakkan penganutnya minum arak, adakah DAP sebuah parti tidak beragama dan menganggap agama adalah candu kehidupan seperti komunis?” soalnya.
Selain itu, katanya, kenyataan Guan Eng mengaitkan penjualan arak dengan gaya hidup orang bukan Islam adalah satu tuduhan DAP yang menghina budaya hidup orang bukan Islam itu sendiri.
“Berniaga arak bukan amalan orang bukan Islam sebaliknya adalah aktiviti perniagaan mengaut keuntungan di atas kerosakan kehidupan individu dan keruntuhan institusi rumah tangga itu sendiri.
“Apakah mungkin Lim Guan Eng lantang bersuara kerana beliau juga mempunyai saham dalam industri penjualan arak di Malaysia?,” soalnya.
Menyelar kenyataan tidak bertanggungjawab Guan Eng, BERJASA menyokong penuh sekatan penjualan arak, dan semua negeri serta pimpinan parti hendaklah menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai tiang seri dalam penyatuan nasional.
Tegasnya, sebarang agenda songsang yang dibawa oleh mana-mana pimpinan parti hendaklah ditolak demi keharmonian kaum di negara ini.
“BERJASA juga ingin mengingatkan kepada semua, DAP sentiasa bersuara dalam agenda songsang. Kita mahukan rakyat hidup harmoni, sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan keharmonian kaum perlu dihindarkan.
“Sudah sampai masanya semua rakyat tidak perlu lagi memandang positif kepada DAP walaupun pemimpin wanitanya memakai berbaju kurung dan berselendang.
“Orang Melayu terutamanya jangan mudah tertipu dengan lakonan DAP, ingatlah peristiwa orang Melayu ditipu dengan songkok akhirnya Singapura keluar dari Tanah Melayu,” katanya.
PAUTAN BERKAITAN:
Sekat jual arak: Guan Eng dakwa Kerajaan Persekutuan campur tangan gaya hidup bukan Islam