Berita UtamaDunia

Kuwait perintah larang kemasukan kapal komersial dari Israel

Konsisten tentang normalisasi dengan negara haram

KUWAIT CITY, 1 Jamadilawal 1443H, Isnin – Kuwait mengeluarkan perintah melarang kemasukan kapal komersial yang membawa barangan ke dan dari Israel memasuki wilayah perairannya.

Menteri Kerja Raya dan Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Rana Al-Faris mengumumkan larangan itu, semalam.

Akhbar harian negara Teluk itu, Al-Anba melaporkan bahawa larangan itu termasuk semua kapal yang datang dari pelabuhan lain untuk memunggah sebahagian daripada kargo mereka di pelabuhan Kuwait, apabila mereka membawa mana-mana barang yang ditetapkan dalam larangan itu, dengan tujuan menghantarnya ke dan dari Israel.

Tindakan itu susulan rang undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen Kuwait pada Mei, melarang warganegaranya dan penduduk ekspatriat daripada melawat Israel selain melarang ungkapan sokongan kepada negara haram itu.  

Pada bulan yang sama, Duta Czech ke Kuwait, Martin Dvorak telah dipanggil selepas menyatakan sokongan dalam talian untuk Israel semasa ia melakukan serangan udara ke atas Gaza. 

Beliau kemudiannya mengeluarkan permohonan maaf atas kenyataan itu.

Kuwait mengekalkan pendirian yang konsisten dalam menentang normalisasi dengan negara haram Israel.  

Tahun lalu, selepas Perjanjian Abraham ditandatangani antara Israel dan negara Teluk, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain, sebanyak 37 penggubal undang-undang Kuwait menggesa kerajaan mereka untuk mengecam tindakan itu.

Semalam, jurucakap gerakan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Hisham Qasim mengalu-alukan undang-undang baharu itu, yang merupakan penerapan dasar Kuwait dalam usaha untuk menyokong Palestin dan matlamat keadilannya.

Beliau juga menyeru negara lain untuk mencontohi pendekatan yang sama seperti Kuwait dengan menyekat perdagangan Israel dan lalu lintas maritim. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button