Berita Utama

Rider ditindas: Jangan sampai kita ajak rakyat boikot syarikat p-hailing

Harap Menteri Agama bawa isu dengan lebih tegas

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 1 Jamadilawal 1443H, Isnin – Isu penindasan membabitkan penghantar makanan (p-hailing) bukan perkara baharu, sebaliknya hampir tiga tahun telah dibangkitkan namun tidak mendapat perhatian.

Pun begitu, muncul khabar gembira untuk ‘rider’ selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad memberi maklum balas selepas dihubungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Naib Presiden PAS itu memaklumkan sudah menghubungi beberapa Menteri Kabinet yang berkaitan dengan perkara ini dan akan cuba mendapatkan kemaskini isu yang perlu diberi perhatian segera.

Mengulas perkara itu, Naib Pengerusi PEMBELA, Cikgu Izzat Johari menaruh harapan tinggi kepada Menteri Agama untuk tegas membawa isu ini ke Kabinet dan tidak mahu merasai kekecewaan lagi selepas isu penggunaan jenama ‘Timah’ pada arak.

“Isu ini sudah lama timbul secara tidak langsung memberi tekanan kepada rider muslim yang cuba menolak untuk tidak membawa makanan berunsurkan haram.

“Jadi kita harap Menteri Agama kali ini lebih tegas berkaliber membawa isu sensitif ini kerana kita tidak mahu sama seperti isu Timah bawa ke Kabinet tetapi syarikat pula diberi perhatian,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Pada perkembangan sama, Cikgu Izzat menggesa syarikat p-hailing segera berhenti menindas rider mereka dan seharusnya mengambilkira sensitiviti rider muslim.

“Kita harap mereka tidak mengambil kesempatan dan jika berterusan kita tidak ragu-ragu untuk mengajak rakyat terutamanya muslim untuk mengadakan boikot besar-besaran.

“Jangan cabar umat Islam dan bermain sentimen-sentimen sensitif serta menindas. Ini penindasan zaman teknologi yang begitu dangkal,” tegasnya.

Sebelum ini, rider beragama Islam mendakwa, mereka berisiko menghadapi kejatuhan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sekiranya berhenti untuk menunaikan solat serta menolak mengambil pesanan berasaskan babi.

Antara perkara lain dibangkitkan adalah kadar upah penghantaran pesanan ‘rider’ dipotong mengikut sesuka hati; peta digital yang tidak mengikut jarak sebenar dalam aplikasi Google Maps atau pun Waze serta penggantungan dan penamatan ID Rider yang jelas tidak adil.

Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P Hailing, Abdul Hakim Abdul Rani menjelaskan, apa yang menjadi sungutan itu perkara yang persatuan beliau terima dari rakan-rakan penghantar P Hailing saban hari.

Beliau membangkitkan beberapa keadaan mengenai prosedur operasi standard (SOP) di mana syarikat penyelia seolah-olah mengikat rakan-rakan penghantar seperti mereka bekerja tetap.

Sedangkan mereka ini pekerja ekonomi gig yang seharusnya menikmati satu bentuk pekerjaan yang fleksibel.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button