Berita UtamaDunia

Tahanan Palestin bebas selepas 131 hari mogok lapar

Kayed Fasfous hilang 45kg apabila ditahan tanpa tuduhan

TEBING BARAT, 1 Jamadilawal 1443H, Isnin – Pihak berkuasa Israel membebaskan seorang tahanan Palestin, dua minggu selepas mencapai perjanjian pembebasan, kata kumpulan hak banduan.

Kayed Fasfous, 32, kekal di hospital Israel sejak menamatkan mogok lapar 131 hari pada 23 November lepas.

Dia adalah tokoh simbolik enam individu yang melaksana mogok lapar bagi membantah dasar kontroversi Israel ‘penahanan pentadbiran’, yang membolehkan suspek ditahan selama-lamanya tanpa tuduhan.

Dasar itu kononnya perlu bagi memastikan suspek berbahaya dikurung tanpa mendedahkan maklumat sensitif yang boleh mendedahkan sumber berharga.

Rakyat Palestin dan kumpulan hak asasi manusia berkata, tindakan itu menafikan hak proses yang sewajarnya, membenarkan Israel menahan tahanan selama berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun tanpa melihat bukti terhadap mereka.

Undang-undang itu jarang digunakan untuk rakyat Israel.

Kelab Tahanan Palestin mengesahkan Fasfous pulang ke Tebing Barat yang diduduki melalui pusat pemeriksaan tentera berhampiran bandar Hebron di selatan pada petang Ahad.

Rakaman dalam talian menunjukkan bekas banduan itu duduk di atas kerusi roda meraikan kepulangannya.

Fasfous menjalani hukuman lima tahun di penjara Israel tanpa tuduhan atau perbicaraan, dan kehilangan berat kira-kira 45 kilogram (kg) ketika mogok laparnya, lapor agensi berita Palestin Wafa.

Nasib enam tahanan mengadakan mogok lapar mencetuskan demonstrasi perpaduan di seluruh Tebing Barat dan Gaza yang diduduki Israel pada November sekali gus meningkatkan tekanan ke atas Israel untuk membebaskan tahanan.

Sekurang-kurangnya empat daripada lima tahanan yang melakukan mogok lapar menamatkan protes mereka selepas mencapai perjanjian sama dengan pihak berkuasa Israel.

Mereka dijangka dibebaskan dalam beberapa bulan akan datang. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button