Dunia

Tebing Barat terus dizalimi, kanak-kanak 11 tahun pula ditahan

Pengganas Israel ceroboh, geledah rumah Palestin tanpa waran

RAMALLAH, 1 Jamadilawal 1443H, Isnin – Bukan hanya merobohkan dan menghalau penduduk Palestin, wilayah Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang diduduki terus dizalimi tentera pengganas Israel demi memperluaskan kuasa dan penjajahan rejim itu.

Semalam, sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditahan tentera Zionis dalam beberapa serbuan yang dilakukan di Tebing Barat.

Rejim itu turut menahan seorang lagi rakyat selepas menceroboh dan menggeledah rumahnya di Burqa, bahagian utara bandar itu.

Sumber tempatan memberitahu, kumpulan haram Israel menjalankan kempen pencarian berskala besar di Ni’lin, Deir Qaddis, Kharbatha Bani Harith dan Bil’in – bandar yang terletak di sebelah barat Ramallah – dengan menceroboh dan menggeledah kebanyakan rumah penduduk Palestin.

Di Baitulmaqdis, pasukan polis bersenjata bersama pegawai perisikan Israel menyerbu kawasan kejiranan al-Issawiya, dan menganggu kira-kira 20,000 penduduk termasuk kanak-kanak.

Kediaman mereka bukan hanya diceroboh dan digeledah, empat penduduk termasuk seorang kanak-kanak 11 tahun turut ditangkap.

Serbuan sama turut dilakukan rejim di daerah Hebron yang menyebabkan seorang lagi rakyat Palestin ditangkap.

Hampir setiap hari tentera Israel menyerbu rumah Palestin dan mencetuskan pertempuran dengan penduduk di seluruh Tebing Barat, kononnya mencari individu ‘dikehendaki’.

Serbuan itu turut dilakukan di kawasan yang berada bawah kawalan penuh Pihak Berkuasa Palestin (PA), dengan sewenang-wenangnya tanpa sebarang waran.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button