Tarbiyah

Apa berlaku jika hilang khusyuk?

Jangan biarkan masa berlalu tanpa hidupkan hati dengan amalan

BANYAK kejadian atau peristiwa yang berlaku dalam hidup kita, benar-benar mengesani jiwa. Begitu juga dengan ayat al-Quran atau tazkirah peringatan yang begitu membekas.

Tetapi berlalu juga tempoh masa, kita tetap dengan diri kita yang sama. Perangai dan tingkah laku dosa yang lama.

Apa yang hilang sebenarnya dalam diri kita adalah khusyuk.

أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوۤاْ أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ ٱللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ ٱلْحَقِّ

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka dengan zikrullah serta apa yang telah diutuskan sebagai kebenaran (Al-Quran) ? (Al-Hadid : 16 )

Suatu ketika Ubadah ibn Somit menyebut kepada Jubair :

إن شئتَ لأحدِّثنَّكَ بأوَّلِ عِلمٍ يُرفَعُ منَ النَّاسِ الخشوعُ يوشِكُ أن تدخُلَ مسجدَ جماعةٍ فلا ترَى فيهِ رجلًا خاشعًا

“Jika engkau mahu tahu, bahawa ilmu pertama yang hilang daripada manusia adalah khusyu’. Hampir-hampir engkau masuk ke masjid yang ramai manusia, namun engkau tidak menjumpai seorang lelaki yang khusyuk. “

Khusyuk adalah satu tumpuan hati yang tunduk kepada Allah SWT. Biasanya kita akan dapati ketika solat, namun maksud keseluruhan erti khusyuk itu adalah menundukkan jiwa kepada kehendak Allah dalam seluruh segi kehidupan.

Sebab maqam (posisi) amalan khusyuk bukan pada perbuatan badan – seperti solat – tetapi pada hati. Itu juga maksud celaan Allah terhadap mereka yang lalai dalam solat, kerana khusyuknya sudah hilang dari hati.

Apa yang berlaku sekiranya hilang khusyuk?

Imam Ar-Razi menyebut ;

أن عدم الخشوع في أول الأمر يفضي إلى الفسق في آخر الأمر

Ketiadaan khusyu’ pada awalnya, akan membawa kepada kefasikan di akhirnya.”

فَطَالَ عَلَيْهِمُ ٱلأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ

Setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik. (Al-Hadid : 16)

Akhirnya punca kepada kerosakan hidup adalah apabila berlalunya tempoh masa yang kita biarkan tanpa dihidupkan hati dengan erti khusyuk.

Hati yang keras, tidak lagi berfungsi menyerap maksud, nilai, petunjuk, dan cahaya dari mana-mana ayat dan peringatan daripada Allah SWT walaupun berlaku depan mata seperti kematian orang terdekat.

Ustaz Abdur Rahman Raji
Naib Yang Dipertua ISMA Kajang

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button