Berita Utama

Budaya ambil tahu perlu dipupuk semula elak kes dera berleluasa

ISMA rancang buka pusat kaunseling bantu individu ada masalah keluarga

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 2 Jamadilawal 1443H, Selasa – Semangat mengambil cakna persekitaran termasuk jiran tetangga perlu dibudayakan semula dalam kehidupan moden di bandar sebagai langkah mencegah perkara tidak diingini termasuk isu penderaan terus berleluasa.

Langkah berkenaan bukan sekadar mampu mengeratkan hubungan silaturahim sesama jiran tetapi, mampu mengelak daripada perkara buruk berlaku.

Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Cikgu Asma Ahmad berkata, budaya moden yang mengamalkan hidup sendiri sebenarnya punca masyarakat hari ini ‘berani’ melakukan perkara-perkara tidak senonoh, termasuk melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.

“Jika dulu, hubungan sesama penduduk sangat erat, jika ada perkara tidak betul pasti akan di tegur, semua itu bukan niat untuk berdengki sebaliknya, mahu ‘membentuk’ menjadi manusia sempurna.

“Tetapi sayangnya, budaya itu sudah luntur dalam kehidupan bandar, apabila masing-masing sibuk dengan kehidupan sehingga tiada lagi budaya menasihati.

“Jadi sudah tiba kita kembalikan semula budaya mengambil tahu, supaya bila jiran kita, rakan sekerja, sahabat dan anggota keluarga melakukan kesilapan, tidak ada alasan untuk kita tutup mata seolah-olah ‘menghalalkan’ perbuatan yang salah itu,” katanya kepada Ismaweb.net.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes penderaan anak-anak yang dilihat semakin berleluasa – malangnya kebanyakan kes dilakukan ibu atau bapa kandung sendiri.

Contohnya, yang terbaharu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai menjadi mangsa dera disyaki dilakukan oleh ibu kandung dan kekasihnya.

Pemeriksaan yang dilakukan ke atas badan mangsa mendapati terdapat kecederaan di mulut, lebam di seluruh bahagian depan dan belakang badan kemungkinan akibat didera.

Atas dasar itu, Cikgu Asma berkata, ISMA melalui BKM mempunyai perancangan untuk menubuhkan pusat kaunseling dan menyediakan bantuan serta latihan dari sudut sokongan dan motivasi kepada mereka yang menjadi mangsa penderaan.

“Niat murni kita mahu bantu golongan ini meneruskan hidup dan kita sediakan kaunseling serta latihan-latihan bagi mengembalikan semangat mereka,” katanya.

Bagaimanapun perancangan itu masih lagi di peringkat perbincangan dengan beberapa pihak sebelum memulakan sesi kaunseling yang akan dikendalikan anggota ISMA sendiri pada peringkat awal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button