Berita Utama

Hilang jati diri bila ketepikan bahasa Melayu, tegur Prof Kok Seong

Malang sekali bila bangsa Melayu remehkan warisan mereka sendiri

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 2 Jamadilawal 1443H, Rabu – Anggapan bahasa Melayu kurang penting kononnya atas dasar dunia kini pesat dengan kemajuan melalui bahasa Inggeris, memperlihat betapa tersasarnya sikap dan mentaliti sesetengah pihak.

Tindakan pihak tertentu itu bukan sahaja menunjukkan mereka tidak bangga kepada bahasa, budaya dan sejarah etnik Melayu, lebih teruk lagi mereka sudah tiada jati diri Melayu dan hilang pedoman mengenai etnisiti dan warisan Melayu.

Lebih dikesalkan, pihak berkenaan secara sinis menyindir tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegur agensi kerajaan, swasta, serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dilihat kurang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Hakikatnya, tidak salah sama sekali untuk beliau membuat teguran demi kemakmuran sosial seperti jati diri dalam konteks nilai sosial dan identiti, kata Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu yakin tindakan demikian dilakukan Perdana Menteri antaranya untuk menegakkan kebanggaan negara, kesedaran sejarah dan aura identiti.

“Dengan tindakan semurni itu untuk tujuan nasionalisme, apakah kesalahan beliau sehingga ada keperluan untuk sesetengah pihak menyindirnya dan dengan sinis pula.

“Lebih malang lagi ianya datang daripada etnik Melayu sendiri, yang sanggup meremehkan warisan mereka sendiri,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Meskipun mengakui bahasa Inggeris pesat digunakan di merata tempat atas semata-mata faedah ekonomi, Kok Seong berkata, dalam hal ini, harus diingati untuk diinsafi bahawa bahasa Melayu mempunyai lebih banyak kebaikan yang dapat diberikan kepada negara ini dan rakyatnya.

Khususnya faedah sosial, berbanding hanya faedah ekonomi yang mampu diberikan bahasa Inggeris, katanya.

Ekoran itu, beliau berpendapat, perimbangan antara faedah ekonomi untuk kemakmuran ekonomi dan faedah sosial bagi kemakmuran sosial jalan tengah yang perlu diambil dalam hal ini.

“Pembangunan negara hendaklah berjalan selari untuk mencapai kedua-dua kemakmuran ekonomi dan sosial.

“Justeru, apa yang dilakukan YAB Perdana Menteri itu adalah tepat sekali, iaitu ikut berbicara mengenai hal sosio budaya ketika terus menangani soal sosio ekonomi rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri meminta supaya bahasa Melayu digunakan dalam semua acara atau majlis yang dianjurkan dengan meluas selepas ini.

Katanya, ia sebagai usaha dan peranan Malaysia bagi memastikan bahasa Melayu terus berkembang dan digunakan bersama-sama bahasa lain.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button