Berita Utama

Keputusan muktamad model borong 5G akan diputuskan sebelum Januari 2022

Kerajaan sasar untuk mencapai 80 peratus dalam tempoh tiga tahun

KUALA LUMPUR, 2 Jamadilawal 1443H, Selasa – Kabinet akan membuat keputusan muktamad mengenai model borong tunggal bagi pelancaran rangkaian 5G menjelang Januari 2022 selepas menerima maklum balas daripada syarikat telekomunikasi dan pemain industri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, Kabinet masih dalam perbincangan sama ada akan melaksanakan 5G melalui Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) atau mempunyai beberapa sistem bagi membolehkan persaingan.

Bagaimanapun beliau berkata, buat masa ini, Digital Nasional Bhd (DNB) akan meneruskan rancangannya untuk menyampaikan perkhidmatan 5G melalui (SWN).

“Kabinet sedang meneliti pendapat atau pandangan kedua daripada pemain industri mengenai perkara itu.

“Kami akan melihat kepada kelebihan dan kekurangan kedua-dua model ini,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usaha sama antara CS Cloud Sdn Bhd dan Cloocus Co. Ltd,  hari ini.

DNB ditubuhkan oleh kerajaan pada Februari untuk membina dan menguruskan rangkaian 5G.

Annuar juga menyatakan bahawa DNB menawarkan perkhidmatan 5G secara borong kepada semua pengendali rangkaian mudah alih (MNO) di Malaysia bermula bulan ini tanpa sebarang kos.

Beliau berkata, fasa pertama tawaran itu terpakai untuk semua tapak 5G di seluruh Putrajaya, Cyberjaya dan beberapa bahagian di Kuala Lumpur.

Menjelang tahun depan, pelancaran itu akan memberi tumpuan kepada kawasan berpenduduk lain termasuk di Pulau Pinang, Johor Bahru, Sabah dan Sarawak di bawah fasa kedua, tambah beliau.

Annuar berkata, kerajaan menyasarkan untuk mencapai 80 peratus kawasan berpenduduk di negara ini dalam tempoh tiga tahun.

Mengenai usaha sama antara CS Cloud dan Cloocus, Annuar berkata ia akan meningkatkan kerjasama dan peluang perniagaan dalam ekonomi digital. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button