Berita Utama

‘Memang nak galakkan harga rokok, arak terus naik dan mahal’

Dasar ditetapkan boleh kurangkan perokok, pemabuk di jalan raya

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 2 Jamadilawal 1443H, Selasa – Sepatutnya polisi memohon lesen berasingan untuk penjualan minuman keras dan rokok di kedai kopi – seperti yang dibangkitkan pemimpin parti tamak holoba DAP, Nga Kor Ming tidak menjadi isu.

Ini kerana, ketetapan yang diputuskan kerajaan dalam hal ini pasti membawa kebaikan kepada rakyat.

Paling penting, Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Johari berkata, kerajaan dapat menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan kehidupan yang sihat.

“Kita faham dengan situasi sekarang, tetapi prosedur memohon lesen berasingan sebegini membolehkan Malaysia menuju ke arah negara bebas rokok dan arak. 

“Bagaimanapun, ia masih lagi boleh dijual kepada orang bukan Islam, mereka masih boleh membeli rokok dan arak. Jadi tidak ada susahnya untuk mereka dapatkan rokok dan arak di premis sepatutnya. 

“Tapi ada baiknya jika kelak mereka susah nak dapatkan rokok dan arak jika tak banyak kedai kopi yang jual. Maka dapat mengurangkan jumlah perokok dan pemabuk. Malah cukai ke atas produk juga disarankan untuk dinaikkan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Nor Izzat berkata, peniaga sebenarnya tidak perlu memohon lesen minuman keras mahupun rokok jika rasa terbeban.

“Mereka sendiri telah menjual barangan yang mempunyai keuntungan yang besar. Jadi apalah salahnya keuntungan penjualan rokok dan arak tersebut dikurangkan. Jadi mereka boleh bayar lesen yang berasingan itu. 

“Tidak perlu naikkan harga rokok dan arak di kedai jika tidak mahu membebankan pengguna. Tetapi kalau nak naikkan juga tiada masalah. 

“Kita memang nak galakkan supaya harga arak dan rokok terus naik dan mahal kerana sekali gus dapat beritahu kepada rakyat bahawa barang ini adalah barangan yang tidak perlu pun dalam masyarakat kita yang majmuk, yang memerlukan keselamatan,” katanya.

Terdahulu, Kor Ming mempersoalkan tindakan kerajaan menguatkuasakan dasar yang mewajibkan kedai kopi memohon lesen berasingan untuk menjual beberapa barangan termasuk rokok dan minuman beralkohol.

Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu mendakwa, penguatkuasaan sedemikian akan membebankan pengusaha yang akhirnya terpaksa menaikkan harga barang di kedai mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button