Berita Utama

Mesyuarat khas Khamis ini teliti kenaikan harga barang

Harga 30-40 sayur kini dipantau setiap hari

KUALA LUMPUR, 2 Jamadilawal 1443H, Selasa – Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bersedia mengadakan mesyuarat Khamis ini bagi meneliti serta memutuskan rancangan jangka sederhana dan panjang bagi menangani kenaikan harga barang keperluan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, mesyuarat yang akan dipengerusikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu juga akan meneliti rancangan menyeluruh dan bersepadu untuk menangani isu itu.

“Pelan jangka sederhana dan jangka panjang akan dibentangkan oleh kementerian pada mesyuarat itu. 

“Antara perkara yang akan dibincangkan ialah kebergantungan kita kepada import, kos input untuk makanan, isu pekerja asing, skim subsidi, geran dan pinjaman yang ada selain teknologi pertanian serta penyelidikan dan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Port Dickson – PH) pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan tambahan Anwar mengenai kelewatan kerajaan mengambil tindakan, Mustapa berkata, kerajaan telah mengambil langkah segera untuk menstabilkan harga melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Tahun lalu, pasukan petugas yang bertanggungjawab terhadap kenaikan harga barang yang dipengerusikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah bermesyuarat sebanyak dua kali. Tahun ini sudah tiga kali bermesyuarat bersama MAFI dan kementerian lain.

“Saya juga ingin menjelaskan kepada ketua pembangkang bahawa Jabatan Perangkaan Malaysia juga memantau perkara ini. Sebelum ini harga akan dipantau dua kali sebulan, kini dipantau setiap hari. Sekitar 30-40 sayur termasuk cili dipantau,” katanya. 

Mustapa berkata, kerajaan sedar kenaikan harga barangan merupakan masalah besar kepada rakyat dan memerlukan tindakan segera untuk menanganinya.

“Inilah sebabnya isu ini sentiasa ditekankan semasa mesyuarat Kabinet. Walaupun NACCOL dan mesyuarat khas Kabinet masih belum bermesyuarat, Kabinet telah pun mengarahkan semua kementerian dan agensi untuk menggerakkan semua sumber bagi memastikan harga terkawal,” katanya seperti dilapor NST.

Anwar sebelum ini bertanya mengapa berlaku kelewatan dalam mengadakan mesyuarat bersama NACCOL dan jawatankuasa khas Kabinet apabila pengguna ditekan dengan harga yang begitu tinggi.

Mustapa menjawab bahawa Perdana Menteri telah mengumumkan minggu lalu bahawa kebenaran mengimport ayam yang bersifat sementara adalah bagi mengatasi kekurangan di pasaran dan peruntukan RM262 juta adalah untuk membantu petani dan penanam yang terjejas akibat kenaikan baja dan racun perosak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button