Berita Utama

Saringan COVID-19 murid sekolah rendah abaikan keselamatan?

Hanya kakitangan hospital, klinik layak lakukan saringan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 2 Jamadilawal 1443H, Selasa – Pelaksanaan saringan bergilir COVID-19 yang dilakukan untuk murid sekolah rendah disifatkan sebagai langkah tidak selamat kerana mengetepikan isu keselamatan.

Pengerusi Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) Selangor, Dr Norzaidi Zakaria berkata, saringan tidak sepatutnya dilakukan oleh guru kelas kerana bimbang prosedur sepanjang tugas berkenaan kurang tepat.

“Sebelum ini, setiap individu yang ingin melakukan saringan perlu menjalani kursus bagi mengetahui prosedur yang tepat.

“Namun kini, tugas itu diambil oleh guru yang langsung tidak didedahkan dengan latihan dan prosedur lengkap, bayangkan berlaku kes positif ketika melakukan saringan, ia akan memberi kesan kepada murid di sekolah dan menyebabkan kekalutan.

“Sepatutnya saringan itu perlu dilakukan oleh individu yang layak sahaja seperti petugas kesihatan yang memiliki latihan dan kursus,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berpandangan, jururawat atau petugas kesihatan perlu dipanggil ke sekolah bagi mengelak situasi tidak diingini ketika proses saringan.

“Sekiranya berlaku kejadian tidak diingini semesti guru yang bertugas panik kerana tidak pernah didedahkan keadaan sedemikian,” katanya.

Beliau pada masa sama berpandangan, tugas yang dilakukan itu turut mengganggu tugas guru mengajar di kelas yang terpaksa digantikan kepada pihak lain.

Justeru, pihak kementerian Pendidikan (KPM) perlu meneliti perkara ini supaya tidak berlaku kes yang memudaratkan di kawasan sekolah, selain mengutamakan keselamatan terhadap murid-murid dalam kawasan sekolah.

Sebelum ini, KPM menetapkan pelaksanaan saringan bergilir COVID-19 untuk murid sekolah rendah perlu dijalankan pada setiap Rabu, pada hari persekolahan.

Difahamkan, kit ujian kendiri COVID-19 sudah dibekalkan ke sekolah rendah bagi memastikan ujian saringan itu dapat dilaksanakan seperti mana tatacara pelaksanaan ujian kendiri COVID-19 yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button