Berita Utama

11 loji proses ayam di Thailand, China diiktiraf Jakim

JPV nafi loji tamat tempoh, tak halal seperti didakwa penceramah bebas

KUALA LUMPUR, 3 Jamadilawal 1443H, Rabu – Semua loji memproses ayam di Thailand dan China yang mengeksport keratan serta daging ternakan ke Malaysia adalah sah dan diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menegaskan perkara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, di Thailand terdapat sembilan loji ayam yang diiktiraf Jakim dan dua lagi di China.

Katanya, senarai loji itu terdapat di laman sesawang JPV dan dikemas kini dari semasa ke semasa.

“Loji yang didapati tidak mematuhi syarat import yang ditetapkan kerajaan Malaysia akan digantung kelulusan eksport.

“Notifikasi penggantungan akan dipaparkan pada nama loji itu di laman sesawang JPV untuk makluman pihak berkepentingan,” katanya, hari ini.

Sehubungan itu, JPV mengesahkan semua loji ayam yang disenaraikan di laman sesawangnya masih sah untuk mengeksport ke Malaysia.

Beliau berkata demikian berikutan video tular yang menampilkan seorang penceramah bebas mendakwa loji ayam Thailand dan China yang mengeksport produk ayam ke Malaysia sudah tamat tempoh dan tidak halal.

Norlizan berkata, JPV memandang serius dakwaan dalam video berkenaan, sekali gus menafikan dakwaan penceramah bebas terbabit.

Beliau berkata, Badan Pengesahan Halal Luar Negara yang mengawal selia aktiviti penyembelihan halal di loji ayam Thailand iaitu Majlis Pusat Islam Thailand dan Perkhidmatan Pensijilan Halal Shandong di China adalah masih sah tempoh pengiktirafan oleh Jakim sehingga 31 Disember 2023.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button