Berita Utama

Harga barangan naik: Kerajaan perlu tegas tangani orang tengah

Sistem pertanian pintar mampu kurangkan bergantung barangan import

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 3 Jamadilawal 1443H, RabuBerusaha mempertingkatkan sekuriti makanan selain beralih kepada sistem pertanian pintar diyakini mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap barangan import.

Ianya bukan sahaja memberi kesan baik daripada aspek menampung keperluan penduduk, malah meringankan beban kehidupan yang ditanggung rakyat ketika ini.

Penganalisis ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, punca harga melambung tinggi adalah disebabkan kebergantungan terhadap barangan yang diambil dari luar negara.

Selain masalah orang tengah yang mengaut keuntungan berlebihan juga menjadi salah satu sebab kepada berlakunya perkara seperti ini, katanya lagi.

“Sebab itu salah satu cara untuk kurangkan kebergantungan kepada barangan import adalah kita sendiri perlu sediakan untuk keperluan rakyat kita dengan tingkatkan sekuriti makanan.

“Perlu galakkan golongan muda sertai bidang pertanian untuk keperluan negara dan keadaan itu mampu untuk kerajaan kurangkan kebergantungan terhadap barangan dari luar.

“Namun sayangnya tidak ramai yang berminat walaupun pelbagai inisiatif diberikan kerajaan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu kenaikan harga barangan yang meningkat sejak kebelakangan ini terutama selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengulas lanjut, Prof Nuradli berkata, harga komoditi seperti hasil perlombongan serta minyak turut mempengaruhi harga pasaran disebabkan oleh kos pengeluar yang semakin meningkat.

“Keadaan itu memberi kesan kepada rakyat yang akan menjadi mangsa dengan kenaikan harga apabila pengeluar terpaksa menaikkan harga barangan selepas barang yang mereka peroleh itu berlaku kenaikan harga,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan melakukan pemantauan tegas bagi mengelak ada pihak mengambil kesempatan pada ketika rakyat dalam kesempitan.

Pada masa sama, beliau melihat inisiatif ‘Program Jualan Keluarga Malaysia’ yang menawarkan barangan asas lebih murah antara 30 hingga 50 peratus membantu rakyat terutama golongan M40 dan B20.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button