Berita Utama

Kontak rapat COVID-19, kes Rosmah ditangguh

Status MySejahtera dilaporkan berwarna jingga

KUALA LUMPUR, 3 Jamadilawal 1443H, Rabu – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembekalan projek solar hibrid kepada 369 sekolah di luar bandar di Sarawak berikutan status MySejahtera menunjukkan beliau kontak rapat kes COVID -19.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan turut melapangkan perbicaraan yang dijadualkan esok, selepas peguam Datuk Jagjit Singh memberitahu mahkamah bahawa status MySejahtera anak guamnya itu berwarna jingga.

“Anak guam saya hadir hari ini dan kami menyuruh beliau tunggu di dalam kereta sama ada Yang Arif mahu meneruskan prosiding atau melapangkan perbicaraan. Status MySejahtera suami beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) adalah merah,” kata peguam itu.

Ketika ditanya Mohamed Zaini sama ada Datuk Seri Najib positif COVID-19, Jagjit menjawab: “Saya tidak pasti, tetapi saya dimaklumkan status (MySejahtera) beliau berwarna merah.

Hakim Mohamed Zaini berkata warna merah bermakna individu terlibat didapati positif COVID-19, namun peguam menjawab beliau tidak pasti.

Hakim Mohamed Zaini berkata prosedur operasi standard (SOP) kompleks mahkamah itu hanya individu mempunyai paparan status MySejahtera berwarna biru boleh dibenarkan masuk ke bangunan berkenaan manakala individu yang menjadi kontak rapat atau kasual, tidak dibenarkan memasuki premis berkenaan.

“Walaupun saya menegaskan beliau (Rosmah) untuk masuk ke dalam bangunan, namun pihak keselamatan di tingkat bawah tidak akan membenarkan beliau masuk, jadi mereka boleh membantah keputusan saya. Ini adalah peraturan ketat yang saya perlu patuhi. Jadi, saya akan melapangkan persidangan hari ini dan esok,” kata hakim itu.

Beliau turut mengarahkan peguam bela supaya menyemak dan mengemas kini status MySejahtera Rosmah kerana perbicaraan perlu diteruskan pada Jumaat ini.

“Ini tanggungjawab yang perlu anda pikul…anda perlu memastikan anak guam anda mengemas kini status MySejahtera beliau dan memaklumkan kepada mahkamah mengenai sebarang perkembangan terkini. Jika statusnya biru (berisiko rendah), kami akan meneruskan perbicaraan pada Jumaat,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah, beliau telah dimaklumkan oleh peguam bela bahawa Rosmah telah menjadi kontak rapat dengan individu yang menghidap COVID-19.

“Saya serahkan sepenuhnya kepada Yang Arif kerana kami bersedia untuk meneruskan pemeriksaan balas ke atas Rosmah, tetapi bergantung kepada keputusan Yang Arif,” kata Sri Ram, yang merupakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Hakim Mohamed Zaini turut meminta pihak pembelaan menjelaskan kepada mahkamah mengenai alasan Rosmah gagal pulang ke tanah air selepas lawatannya ke Singapura pada 21 November sebagaimana yang diperintahkan oleh mahkamah pada Oktober lepas.

“Daripada berita yang saya baca di akhbar, mengikut perintah yang saya keluarkan pada 15 Oktober 2021, adakah anda ingin menjelaskannya? Kerana menurut arahan yang saya berikan itu, anak guam anda sepatutnya pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November, dan berdasarkan apa yang saya baca di akhbar beliau tidak kembali pada tarikh tersebut.

“Tetapi perkara itu bagi saya, ia hanya khabar angin, saya ingin mendengar daripada anda sendiri Datuk Jagjit,” kata hakim itu.

Jagjit menjelaskan bahawa terdapat perubahan dalam rancangan perjalanan anak guamnya itu memandangkan terdapat perubahan pada peraturan kuarantin di bawah Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) yang baharu antara Malaysia dan Singapura dan beliau mewakili Rosmah memohon maaf kepada mahkamah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button