Berita Utama

Nurul Izzah bukan lagi Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan PM

Sertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan

BANGI, 21 Rejab 1444H, Ahad – Nurul Izzah Anwar mengesahkan dirinya tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden PKR itu kini menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusi Tan Sri Mohd Hassan Marican.

“Saya dengan rendah diri menerima tanggungjawab ini membantu dalam usaha memperkukuh ekonomi negara dan rakyat.

“Menerusi peranan baharu ini saya tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau pada masa sama menghargai setiap peluang untuk menyumbang kepada negara demi melakar masa depan yang lebih baik.

Awal bulan lalu, anak sulung Perdana Menteri itu dalam satu temu bual bersama media tempatan memaklumkan beliau dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Bagaimanapun, pelantikan berkenaan dikritik pelbagai pihak dan ramai mengaitkannya dengan amalan nepotisme.

Anwar kemudian tampil menjelaskan pelantikan berkenaan tidak melibatkan sebarang elaun dan beliau sendiri yang mempelawa bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh membantunya sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button